'Panik dapat tahu ada mayat dalam mangkuk tandas'

Laporan Sinar Harian mengenai penemuan mayat bayi di dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada tengah hari Ahad.
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan mayat bayi di dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada tengah hari Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - "Saya ingat pelanggan datang nak isi minyak, tapi bila dimaklumkan ada mayat bayi dalam tandas, saya terus panik."

Itu reaksi seorang pekerja sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini yang menjadi individu pertama menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas wanita pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pekerja terbabit yang mahu dikenali sebagai Azura, 33, berkata, dia sedang sibuk di kaunter juruwang sebelum didatangi dua wanita yang kelihatan cemas.

"Saya nampak mereka berdiri di luar cermin kaunter dengan wajah pucat dan terketar-ketar dan memberitahu ada mayat bayi dalam tandas," katanya.

Terkejut dengan maklumat itu, Azura segera memaklumkan perkara tersebut kepada rakannya yang berada di dalam stesen minyak.

"Rakan saya terus bergegas ke tandas untuk melihat sendiri keadaan di lokasi dan sebaik masuk, kami dapati mangkuk tandas dalam keadaan tertutup.

"Kami tak berani buka penutup itu kerana takut benar ada bayi di dalamnya, jadi kami terus hubungi polis dan minta orang awam jangan sentuh apa-apa di lokasi kejadian.

"Kami cuba bertenang dan pastikan tiada sesiapa mengganggu bukti sebelum polis sampai," katanya.

Menurut Azura, sebaik sahaja anggota polis tiba, kawasan berkenaan segera ditutup untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, mayat seorang bayi ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila terlangkup dalam mangkuk tandas wanita di stesen minyak berkenaan.

Perbuatan kejam itu terbongkar selepas orang awam menemui mayat bayi berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, kejadian itu tular di Facebook selepas beberapa pengguna memuat naik gambar lokasi kejadian, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam perbuatan kejam berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!