Israel perhebat serang Lubnan

BEIRUT - Israel melancarkan serangan baharu ke atas Lubnan pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari seberang sempadan, ketika Hezbollah menafikan mereka bertanggungjawab dalam insiden tersebut.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, mengarahkan gelombang kedua serangan terhadap puluhan sasaran Hizbullah, menjadikannya peningkatan ketegangan terbesar sejak gencatan senjata 27 November.
Serangan itu menyusuli siri serangan pertama yang dilancarkan pada sebelah pagi ke atas selatan Lubnan.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan melaporkan seorang kanak-kanak perempuan antara lima yang terbunuh dalam serangan di bandar Touline manakala tiga lagi maut dalam serangan Israel di bandar Tyre.
Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Tyre, Bilal Kachmar, memberitahu AFP bahawa dua orang maut dan dua lagi cedera selepas serangan Israel menyasarkan sebuah apartmen di kejiranan Al-Raml.
Sumber keselamatan memaklumkan seorang pegawai Hizbullah menjadi sasaran di Tyre, namun statusnya belum dapat disahkan.
Tentera Israel menyatakan enam roket dilancarkan dari Lubnan ke utara Israel, dengan tiga daripadanya dipintas.
Bagaimanapun Hizbullah menafikan sebarang penglibatan dan menyifatkan tuduhan Israel sebagai alasan untuk terus menyerang negara ini.
Perdana Menteri Lebanon, Nawaf Salam, memberi amaran bahawa operasi ketenteraan yang berulang di sempadan selatan boleh menjerumuskan negara ke dalam perang baharu.
Manakala, Pasukan Pengaman PBB di Selatan Lebanon (UNIFIL) menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan konflik baharu di Asia barat selepas serangan roket tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!