'Ada sungai dipenuhi rumput sehingga boleh bermain bola di dalamnya'

Ahmad (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Bukit Batu, Kulai pada Ahad.
Ahmad (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Bukit Batu, Kulai pada Ahad.
A
A
A

KULAI – Kerja penyelenggaraan sungai dan parit perlu dilakukan lebih kerap bagi mengelakkan kejadian banjir berulang di beberapa daerah di negeri ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selain projek tebatan banjir dirancang, penyelenggaraan secara berkala terhadap sungai dan parit utama perlu diberi perhatian serius.

“Pendalaman dan penyelenggaraan terutama di sungai utama cukup penting. Jika hanya dilakukan sekali setahun, ia tidak mencukupi. Ada sungai dipenuhi rumput sehingga orang kata boleh bermain bola di dalamnya.

"Oleh itu, penyelenggaraan sungai perlu lebih kerap supaya aliran air tidak tersekat dan dapat mengurangkan risiko banjir," katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, di sini, pada Ahad.

Tambah beliau, selain kerja pendalaman sungai utama, meluruskan aliran sungai dan mendalamkan muara juga merupakan langkah penting perlu dipercepatkan.

“Saya berharap projek tebatan banjir yang tertangguh di negeri ini dapat disegerakan.

"Apa sahaja proses melambatkan pelaksanaannya perlu dipermudahkan supaya kejadian banjir seperti ini tidak berulang," ujarnya.

Ahmad bersama mangsa banjir di PPS SMK Bukit Batu, Kulai pada Ahad.
Ahmad bersama mangsa banjir di PPS SMK Bukit Batu, Kulai pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian menyifatkan bantuan RM3,000 kepada ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir sebelum Aidilfitri oleh kerajaan negeri sebagai terbesar pernah diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada mangsa banjir memandangkan bencana ini tidak dijangka berlaku dan disifatkan sebagai terburuk.

"Sebagai contoh di Parlimen Pontian, biasanya jika berlaku banjir hanya tiga atau empat sahaja PPS dibuka tetapi semalam saya pergi sampai 10 PPS," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor turut mengarahkan UMNO Bahagian dan cawangan tidak terjejas banjir turun membantu mangsa banjir.

"Ada sukarelawan Wanita UMNO yang sudah bergerak ke PPS membantu mangsa banjir dengan mengumpulkan pakaian dan dihantar ke dobi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!