Johor salur RM11.2 juta bantuan khas untuk mangsa banjir

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan RM11.2 juta sebagai Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di 100 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas sebelum sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, bantuan itu adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pihak berkuasa tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).
"Kerajaan negeri amat prihatin dengan kesusahan yang dihadapi mangsa banjir dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan RM500 kepada 441 peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas akibat banjir di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
"Antara lokasi bazar yang menerima bantuan ialah Bazar Tebing Dato’ Onn seramai 48 peniaga, Bazar Jalan Pandan Ria (30 peniaga), Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66 peniaga), Bazar Pesiaran Dahlia (150 peniaga) dan Bazar Aidilfitri MDKT (147 peniaga).
"Selain itu, sebanyak 9,839 peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di 180 lokasi seluruh Johor turut diberikan pengecualian caj tertentu oleh PBT bagi membantu mereka bangkit semula selepas bencana," ujarnya.
Sementara itu, Onn Hafiz menambah enam masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan termasuk sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah, serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada kerajaan negeri.
"Bagi mangsa banjir yang tidak mendaftar di PPS, mereka masih boleh mengemukakan permohonan rayuan di Pejabat Daerah masing-masing sehingga akhir April ini.
"Kerajaan negeri akan terus berusaha membantu mangsa banjir dan memastikan kesejahteraan rakyat Johor sentiasa terpelihara," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


