Syak isteri curang, lelaki bunuh anak kandung usia tiga tahun

Gara-gara mengesyaki isteri mempunyai hubungan luar nikah, seorang lelaki bertindak membunuh anak kandungnya yang berusia tiga tahun. Sumber gambar daripada NDTV.com
Gara-gara mengesyaki isteri mempunyai hubungan luar nikah, seorang lelaki bertindak membunuh anak kandungnya yang berusia tiga tahun. Sumber gambar daripada NDTV.com
A
A
A

PUNE - Gara-gara mengesyaki isteri mempunyai hubungan luar nikah, seorang lelaki bertindak membunuh anak kandungnya yang berusia tiga tahun di Chandan Nagar, Pune.

Seorang pegawai polis kanan berkata, suspek bernama Madhav Tiketi ditahan polis selepas disyaki menyembelih anak lelakinya di sebuah kawasan hutan pada Khamis lalu.

Mangsa, Himmat Madhav Tiketi, merupakan anak tunggal kepada Madhav dan isterinya, Swaroopa. Keluarga ini berasal dari Visakhapatnam, Andhra Pradesh.

Menurut polis, Madhav bertindak sedemikian kerana mengesyaki isterinya curang.

Pada Khamis petang, pergaduhan tercetus antara pasangan itu sebelum Madhav membawa Himmat keluar dari rumah dalam keadaan marah.

Swaroopa yang risau kerana tidak dapat menghubungi suami dan anaknya, membuat laporan polis di Balai Polis Chandan Nagar pada lewat malam.

Polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan Madhav melalui rakaman Pemantauan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan lokasi telefon bimbitnya. Madhav ditahan di sebuah pondok dalam keadaan mabuk.

Selepas disoal siasat, Madhav mengaku membunuh Himmat. Polis kemudiannya menemui mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan dengan kesan luka di leher.

“Semalam, ibu kanak-kanak itu datang ke balai polis dan membuat laporan mengenai anaknya yang hilang.

Artikel Berkaitan:

“Dalam siasatan, didapati bahawa bapa kanak-kanak itu sedang mabuk di sebuah pondok. Kami menahannya dan memberkasnya.

“Dalam soal siasat lanjut, dia mengaku membunuh anaknya. Tertuduh telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes bunuh telah didaftarkan mengikut jenayah," kata seorang pegawai polis kanan.

Mayat Himmat dihantar ke hospital untuk pemeriksaan post-mortem dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!