Rewang ketupat pupuk semangat muhibah

Lebih 200 masyarakat pelbagai kaum mengambil bahagian dalam acara rewang ketupat yang diadakan pada Sabtu.
Lebih 200 masyarakat pelbagai kaum mengambil bahagian dalam acara rewang ketupat yang diadakan pada Sabtu.
A
A
A

JURU - Tradisi membuat ketupat menjelang Aidilfitri terus menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum di sini apabila lebih 200 orang mengambil bahagian dalam program rewang ketupat di Dataran Sungai Semilang pada Sabtu.

Program yang julung kali diadakan itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta perpaduan dalam kalangan kaum.

Pelajar, P Prathiba, 18, berkata, dia teruja apabila dimaklumkan oleh ibunya mengenai program itu dan pulang ke Seberang Perai semata-mata mahu turut serta dalam aktiviti tersebut.

Beliau yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui pada mulanya agak sukar untuk menganyam ketupat, namun akhirnya berjaya menghasilkannya dengan tunjuk ajar orang lama.

"Memang mula-mula nampak sukar, tapi bila sudah faham teknik dan cara anyaman yang betul, barulah senang nak hasilkan.

"Seronok bila dapat berkumpul ramai-ramai seperti ini dan belajar membuat makanan tradisi sempena Hari Raya," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Turut berkongsi keterujaan, Adeline Chang, 65, yang terharu melihat penyatuan kaum dalam program yang diadakan itu.

Pelbagai kaum mengambil bahagian dalam acara rewang ketupat yang diadakan pada Sabtu.
Pelbagai kaum mengambil bahagian dalam acara rewang ketupat yang diadakan pada Sabtu.

Jelasnya, walaupun aktiviti itu santai, namun ia dapat memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan hubungan berbilang bangsa di sini.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak tahu nak buat ketupat ini, tapi seronok dapat belajar walaupun anyaman saya masih tidak kemas.

"Aktiviti seperti ini perlu diperbanyakkan lagi agar semua masyarakat dapat lebih memahami budaya bangsa lain, dan saya harap ia dapat diteruskan untuk perayaan lain pada masa akan datang," katanya lagi.

Dalam pada itu, suri rumah Esah Abdullah Ali, 42, berkata, dia gembira dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan kaum Cina dan India yang ingin mempelajari tradisi orang Melayu membuat ketupat.

"Bila lihat ramai yang teruja nak belajar buat ketupat ini, kita jadi seronok untuk berkongsi dengan mereka.

"Saya harap selepas ini boleh pula mempelajari masakan tradisi kaum lain," katanya.

Hsiao Leung (kiri) turut menunjukkan kebolehannya menganyam ketupat
Hsiao Leung (kiri) turut menunjukkan kebolehannya menganyam ketupat

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, sebanyak 50 kilogram (kg) pulut disediakan untuk menghasilkan ketupat dalam program yang dianjurkan oleh pusat khidmatnya sebelum diedarkan secara percuma kepada peserta dan penduduk sekitar.

Beliau berkata, acara yang diadakan itu dapat menyemai semangat toleransi berbilang kaum sekaligus berkongsi amalan tradisi kepada semua lapisan masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!