Cuaca buruk akan berakhir menjelang Aidilfitri

Pakar yakin banjir atau cuaca buruk yang sedang berleluasa kini telah sampai ke penghujungnya dan tiada yang akan beraya di PPS. Gambar kecil: Jing Xiang dan Azizan.
Pakar yakin banjir atau cuaca buruk yang sedang berleluasa kini telah sampai ke penghujungnya dan tiada yang akan beraya di PPS. Gambar kecil: Jing Xiang dan Azizan.
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan cuaca buruk termasuk hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan di negara ini dijangka berakhir menjelang Aidilfitri.

Pensyarah Meteorologi dan Klimatologi, Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata, model ramalan beberapa agensi meteorologi antarabangsa menunjukkan musim tengkujuh dijangkakan tamat sekitar minggu ini iaitu pada Isnin (24 Mac).

“Ia akan beralih ke musim monsun peralihan. Maka, saya yakin banjir atau cuaca buruk yang sedang berleluasa kini telah sampai ke penghujungnya

“Saya amat percaya juga bahawa semua akan beraya di rumah, tiada yang akan beraya di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya pada Ahad.

Jing Xiang menjelaskan, peralihan dari musim tengkujuh ke monsun peralihan kebiasaannya akan membawa ribut petir yang kuat tetapi singkat, terutama pada waktu petang hingga awal malam di kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia serta pantai barat Sabah atau Sarawak.

“Masyarakat yang duduk di kawasan senang dilanda banjir kilat perlu berwaspada. Saya sarankan penduduk supaya berjaga-jaga dengan ribut petir pada sebelah petang.

“Paling penting, berikan perhatian kepada ramalan dan amaran dikeluarkan MetMalaysia agar langkah berjaga-jaga dapat kita ambil,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berpandangan bahawa peralihan musim antara monsun akan menyebabkan luruan monsun atau peningkatan tiupan angin monsun yang mengakibatkan hujan lebat akan menjadi kurang aktif.

“Luruan kebiasaannya akan berlaku dalam jangka seminggu sahaja dan dijangka sewaktu musim perayaan nanti akan reda sedikit insya-ALLAH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!