KDEBWM, Yayasan Amal ASAS rai 100 pekerja sektor pembersihan

SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi kerjasama Yayasan Amal Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) meraikan 100 pekerja sektor pembersihan dalam Majlis Santunan Ramadan di pekarangan KDEB ICI Sdn Bhd (KDEB ICI) di sini, pada Jumaat.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, majlis itu menghimpunkan 60 kakitangan KDEB ICI terdiri daripada pemandu, atendan, pemandu jetter, operator, tukang kimpal dan mekanik, selain turut disertai 40 pekerja KDEBWM cawangan Shah Alam.
Menurutnya, program yang mendapat tajaan penuh Iltizam Ekuinas itu merupakan salah satu inisiatif untuk menghargai pekerja dalam sektor tersebut.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan Amal ASAS dan pihak berkaitan kerana bersama-sama kita menyantuni mereka yang sebenarnya menjadi tulang belakang dalam kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah di Selangor.
“Kita mempunyai hampir 10,000 pekerja yang menjaga kebersihan Selangor, melibatkan kira-kira 2.5 juta unit rumah termasuk strata dan unit komersial, dengan kepadatan penduduk hampir 7.2 juta orang, tidak termasuk pekerja asing.
“Jadi cabaran memang berat untuk memastikan negeri ini sentiasa bersih. Saya percaya inisiatif seperti ini bukan sekadar kebajikan tetapi satu bentuk penghargaan kepada barisan hadapan kebersihan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Santunan Ramadan di pekarangan KDEB ICI di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal ASAS, Ghazali Bujang; Pengurus Komunikasi Korporat Ekuinas, Nolly Ismail; Penolong Pengurus Besar KDEB ICI, Khairil Khalid dan Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi.
Dalam pada itu, Ghazali berkata, pihaknya bersama Iltizam Ekuinas turut menaja sumbangan bakul makanan dan duit raya bagi menghargai jasa pekerja pembersihan berkenaan.
“Kita memperuntukkan RM10,000 untuk program dan sumbangan hari ini, yang memanfaatkan 100 pekerja dengan nilai RM100 setiap seorang.
“Bantuan ini termasuk jamuan berbuka puasa, duit raya dan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, kopi, kicap, teh, sardin dan sebagainya.
“Setiap tahun pada bulan Ramadan, kita akan menyantuni pekerja sektor ini di seluruh Semenanjung dan untuk tahun ini, kita telah menyantuni 10 daripada 13 tempat yang dirancang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!