Kegiatan curi dalam masjid, sawit dan samun di Maran tumpas

MARAN - Polis berjaya menumpaskan kegiatan jenayah curi dalam masjid, curi sawit, dan samun di sekitar Pekan Awah dan Chenor, susulan penahanan seorang lelaki dalam operasi khas pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, penahanan lelaki berusia 44 tahun itu berjaya menyelesaikan lima kes jenayah terbabit yang berlaku sejak 2017.
"Hasil siasatan mendapati lelaki itu mempunyai 19 rekod jenayah lampau, termasuk satu kes samun berkumpulan tanpa senjata, lima pecah rumah, serta dua kes kecurian lain.
"Terdapat juga satu kes di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, satu kes kecurian dalam bangunan, empat melibatkan motosikal, satu pemilikan barang curi, dan empat berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek terlibat dalam satu kes samun di Pekan Awah yang berlaku pada tahun 2017.
Katanya, dalam kejadian itu mangsa telah disamun seutas gelang tangan, dua beg tangan mengandungi dokumen peribadi serta wang tunai berjumlah RM1,800.
"Turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah lori dan serangkai anak kunci yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah suspek," katanya.
Kim Wai berkata, suspek kini direman selama empat hari hingga 22 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam masjid.
Sehubungan itu, Kim Wai menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menjaga aset berharga serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang sesuai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

