Gantung visa umrah: Hanya tangguh, bukan batal

Mohamad Ali (duduk; dua dari kiri) pada sidang akhbar di Pejabat Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad di Ipoh semalam.
Mohamad Ali (duduk; dua dari kiri) pada sidang akhbar di Pejabat Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad di Ipoh semalam.
A
A
A

IPOH - Semua jemaah umrah di Perak yang telah mendaftar untuk mengerjakan umrah pada tahun ini tidak perlu panik dengan pengumuman kerajaan Arab Saudi semalam.

Pengerusi Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz), Mohamad Ali Sabri Abdul Rahman berkata, pengumuman itu hanyalah penangguhan dan bukan pembatalan untuk mengerjakan umrah.

Menurutnya, pihak Puhaz memberi jaminan bahawa jemaah umrah yang telah mendaftar akan tetap berpeluang untuk menunaikan umrah sebaik sahaja keadaan kembali seperti biasa.

"Di bawah kami terdapat kira-kira 2,000 orang di Perak yang terjejas tidak dapat menunaikan umrah disebabkan keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Bagaimanapun, semua jemaah umrah itu telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut bagi mengelak salah faham kerana ia bukan keputusan agensi umrah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di sini hari ini.

Mohamad Ali berkata, kira-kira 60 peratus jemaah tersebut terdiri daripada mereka yang kali pertama mengerjakan umrah.

Menurutnya, semua jemaah umrah tidak perlu bimbang dan pihaknya akan sentiasa memberikan perkembangan terkini mengenai perkara tersebut.

Katanya, pihak agensi akan berbincang dengan jemaah yang terlibat untuk menentukan tarikh baharu penerbangan sejurus keputusan penggantungan sementara visa itu ditarik balik oleh kerajaan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengerusi Puhaz, Mohamed Jamaluddin mengakui penggantungan visa tersebut turut memberi kesan kepada 35 agensi yang bernaung di bawah persatuan tersebut.

Bukan itu sahaja, katanya, agensi-agensi di bawah Puhaz turut mengalami kerugian akibat pembatalan tempahan di saat akhir bagi pakej pelancongan Muslim ekoran sekatan perjalanan ke negara-negara yang berdepan wabak koronavirus (Covid-19) seperti Jepun, Thailand, dan Korea Selatan.