Banjir Johor: Mangsa meningkat kepada 753, 10 PPS dibuka

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di Johor semakin memburuk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 753 orang daripada 221 keluarga, berbanding hanya 68 mangsa malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Azmi Rohani berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah bertambah kepada 10, membabitkan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian setakat jam 4 pagi pada Khamis.
“Johor Bahru mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 461 orang yang ditempatkan di enam PPS.
“Di Kulai pula, seramai 235 mangsa direkodkan di dua PPS, manakala Pontian mencatatkan 57 mangsa di dua PPS,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, antara PPS baharu yang dibuka ialah Dewan MBIP Skudai, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze dan Balairaya Komuniti Kampung Pasir di Johor Bahru, termasuk dua lagi di Kulai serta Pontian.
Pada masa sama, Azmi memaklumkan bahawa tiada kes kematian dilaporkan, namun paras air sungai di beberapa kawasan menunjukkan peningkatan dengan bacaan melebihi tahap amaran.
Ujarnya, antara sungai yang mencatat kenaikan paras air ialah Sungai Siam di Kulai yang kini berada pada 20.85 meter, melepasi paras bahaya iaitu 20.70 meter.

"Begitu juga di Sungai Ayer Hitam, Pontian pada 5.35 meter (bahaya: 5.50 meter) dan Sungai Pulai di Pontian pada 2.90 meter (bahaya: 3 meter).
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Facebook Angkatan Pertahanan Awam Negeri Johor atau menghubungi bilik operasi bencana di talian 07-2322484/5 atau WhatsApp 019-2127215,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


