Banjir Johor: 7 sekolah ditutup, 47 sekolah dijadikan PPS

Fadhlina (tengah) bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Kencana, Simpang Renggam hari ini. Foto Bernama
Fadhlina (tengah) bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Kencana, Simpang Renggam hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Sebanyak tujuh buah sekolah di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pasir Gudang ditutup pada Jumaat, selepas kawasan sekolah dinaiki air.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebanyak 47 sekolah pula dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Pasir Gudang.

Menurut beliau, setakat ini bilangan murid serta pelajar yang dilaporkan berada di PPS di Johor seramai 886 orang.

"Sekolah yang dinaiki air dan ditutup, masing-masing tiga di Johor Bahru dan Kota Tinggi manakala sebuah sekolah di Pasir Gudang.

"Sementara bilangan sekolah dijadikan PPS merekodkan daerah Pontian paling tinggi iaitu sebanyak 13 sekolah," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau PPS di Sekolah Kebangsaan ( SK) Sri Kencana Simpang Renggam, Kluang di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, sesi pembelajaran di 20 sekolah di negeri ini dilaporkan terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak pagi Rabu.

Bilangan mangsa banjir di negeri ini pada tengah hari Jumaat direkodkan seramai 10,629 orang daripada 3,169 keluarga di Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Johor Bahru dan Kulai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!