'Tak jadi buat kuih raya, terpaksa bersihkan rumah dulu' - Mangsa banjir

Hidayah (kiri) kini berlindung di PPS SK Sri Kencana Simpang Renggam.
Hidayah (kiri) kini berlindung di PPS SK Sri Kencana Simpang Renggam.
A
A
A

KLUANG - Persiapan menyambut Aidilfitri bagi penduduk di Kampung Batu 6, Simpang Renggam di sini, tergendala selepas kediaman mereka dilanda banjir setinggi satu meter susulan hujan lebat berterusan sejak Rabu.

Penduduk, Hidayah Atan, 41, berkata, keluarganya merancang mahu membuat kuih raya dan menghias rumah pada hujung minggu ini.

Namun katanya, keadaan banjir menyebabkan mereka perlu menangguhkan persiapan dan menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan rumah terlebih dahulu.

"Mujur belum buat sebarang persiapan raya. Kalau sudah buat tentu rosak akibat banjir.

"Jika dibenarkan balik hari ini pun, kami terpaksa membuat pembersihan rumah yang akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari," katanya.

Beliau ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana di Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat.

Sementara itu, pasangan warga emas, Juri Amri, 78, dan Romlah Yusuf, 74, dari Kampung Parit Jepun menantikan kepulangan dua anaknya dari Kulai dan Skudai bagi membantu membersihkan rumah selepas banjir surut.

"Apa yang memeningkan sekarang adalah untuk mengemas rumah selepas banjir, anak-anak balik hujung minggu ini, rumah dapat dibersihkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!