'Luluh hati saya dengar rintihan mangsa banjir' - MB Johor

Onn Hafiz (dua kanan) melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada malam Khamis.
Onn Hafiz (dua kanan) melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada malam Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan kesedihan di atas penderitaan penduduk di negeri ini yang terjejas banjir hingga rumah dinaiki air menjelang sembilan hari lagi sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan sesekali berpeluk tubuh dan membiarkan kebajikan rakyat terus terpinggir berhadapan bencana banjir.

"Luluh hati saya mendengar rintihan dan luahan mereka yang terkesan akibat bencana ini.

"Mereka diuji dengan kesusahan yang tidak terduga, rumah ditenggelami air, harta benda musnah dan anak-anak kecil yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

"Dalam menghadapi ujian ini, Kerajaan Johor tidak akan sesekali berpeluk tubuh," tulisnya di Facebook pada Jumaat.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus menggerakkan semua usaha untuk menyelaras bantuan, memastikan bekalan makanan mencukupi serta menyediakan segala keperluan asas supaya kebajikan mangsa terjamin.

"Marilah kita sama-sama berdoa supaya hujan segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.

"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada semua yang terjejas. Moga Ramadan ini tetap membawa keberkatan buat seluruh Bangsa Johor meskipun dalam ujian yang berat ini. Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Johor dilaporkan terus melonjak kepada 5,092 orang daripada 1,284 keluarga, dengan 79 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah terjejas, membabitkan Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi.

Banjir melanda disifatkan penduduk terjejas sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 19 tahun lalu.

Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu turut menyebabkan kesesakan luar biasa di Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Jabatan Meteorologi (METMalaysia), mengeluarkan amaran hujan lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat.

"Oleh itu, saya merayu kepada seluruh Bangsa Johor yang berada di kawasan berisiko tinggi supaya terus berwaspada, menjaga keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Jangan ambil risiko yang boleh membahayakan nyawa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!