LLM beri lampu hijau PBAPP teruskan WCP 2030

GEORGE TOWN - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah memberi lampu hijau kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk meneruskan projek Pelan Kontingensi Air Ke-4 2030 (WCP 2030) untuk negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, PBAPP telah mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan untuk memasang saluran paip air terawat baharu bernilai RM128 juta dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU).
Menurutnya, saluran paip besar 1.8 meter (m) itu akan menyambungkan titik outlet baharu LRA di Sungai Dua ke titik inlet baharu Saluran Paip Dasar Laut Berkembar ke-3 Pulau Pinang (PTSP ke-3) di Butterworth.
"Ia merupakan komponen penting WCP 2030 yang akan membolehkan PBAPP mengepam lebih banyak air terawat dari LRA terbesar dan terpenting Pulau Pinang ke bahagian pulau pada masa hadapan.
"Di bahagian pulau, PBAPP juga merancang untuk memasang saluran paip baharu 3.9 kilomwter x 1.8m (projek WCP 2030 ke-3) untuk menyalurkan air terawat dari Sungai Dua ke Kompleks Kolam air dan Stesen Pam Bukit Dumbar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, dari Bukit Dumbar, air terawat akan dipam semula terutamanya ke daerah Barat Daya.
"Projek ini akan memanfaatkan 165,054 pengguna air di daerah Timur Laut dan Barat Daya termasuk 140,669 pengguna domestik dan semua syarikat multinasional di Bayan Lepas.
"Tahun lalu, PBAPP mengepam purata 366 juta liter sehari (JLH) air terawat dari LRA Sungai Dua ke kawasan pulau termasuk 33 JLH yang diperlukan untuk mengekalkan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024)," jelasnya.
Ujar beliau lagi, saluran paip LRA Sungai Dua-Butterworth mempunyai anggaran sepanjang 13km.
"Ini menjadikannya salah satu daripada saluran paip air utama terpanjang yang dipasang di Pulau Pinang sejak PBAPP dikorporatkan 26 tahun lalu pada 1999.
"Di atas faktor keselamatan, integriti kejuruteraan dan pertimbangan kos, PBAPP mesti memasang saluran paip di bawah tanah, merentasi atau di sepanjang petak tanah di SPU. Ia termasuk tanah rizab lebuh raya di bawah bidang kuasa LLM, yang berkaitan dengan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE)," katanya.
Pathmanathan berkata, dalam mesyuarat pada 12 Mac lalu, LLM pada dasarnya bersetuju dengan rancangan PBAPP tersebut dengan syarat kerja-kerja air tidakmenimbulkan atau menyebabkan isu besar di BORR atau NSE.
"PBAPP menghargai sokongan LLM untuk projek kerja air kritikal yang akan menyokong kecukupan bekalan air di seluruh Pulau Pinang sehingga 2030. Kerja-kerja projek 13.0km x 1.8m Sungai Dua ke Butterworth Pipeline dijadualkan bermula pada 2026.
"Ketika ini, PBAPP sedang memuktamadkan penjajaran saluran paip baharu di SPU dengan mengambil kira tarikh akhir itu," katanya.
Tambah beliau, dengan sokongan Kerajaan Pulau Pinang, PBAPP sedang berusaha untuk mempercepatkan kelulusan lain iaitu daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
"Kami sedang berusaha secepat mungkin untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan.
"Berdasarkan penjajaran akhir, kemungkinan PBAPP akan terlibat dalam aktiviti pengambilan tanah kerana saluran paip itu pasti akan merentasi plot tanah milik persendirian di SPU. Kami memohon kerjasama dan sokongan semua pihak yang terlibat dalam projek Saluran Paip Sungai Dua ke Butterworth ini," katanya.
Beliau menambah, PBAPP perlu melaksanakan projek WCP 2030 tepat pada masanya bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga 2030.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!