Taburan hujan luar biasa punca banjir di Johor - MB

Keadaan rumah dan jalan raya serta kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan beterusan sejak semalam (19 Mac) ketika tinjauan pada Khamis. Foto Bernama
Keadaan rumah dan jalan raya serta kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan beterusan sejak semalam (19 Mac) ketika tinjauan pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Taburan hujan luar biasa sehingga 150milimeter (mm) dalam beberapa pada Khamis, berbanding purata biasa 20mm, menjadi punca utama kejadian banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fenomena air pasang sekitar 3.0 meter turut memburukkan keadaan banjir.

"Hujan lebat yang masih berterusan hari ini memerlukan kesiapsiagaan dan kerjasama berterusan daripada semua agensi terlibat bagi memastikan keselamatan rakyat terjaga.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas bersama agensi berkaitan bagi membincangkan situasi semasa banjir di Johor, khususnya di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, dan Kluang.

"Sehingga jam 4.00 petang Khamis, sebanyak 43 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka, melibatkan 2,550 mangsa daripada 707 keluarga," katanya dalam muat naik di Facebook pada Khamis.

Menurut beliau, mesyuarat khas terbabit disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya telah mengarahkan semua agensi untuk menggerakkan aset dan logistik bagi mempercepatkan operasi menyelamat.

"Selain itu, saya juga telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi bagi menjamin kesejahteraan mangsa banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Bangsa Johor dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!