Jangan bawa unsur luar dalam situasi politik negara: KPN

Abdul Hamid (kiri) ketika ditemui media di Istana Negara hari ini.
 Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
 Foto: Bernama
Abdul Hamid (kiri) ketika ditemui media di Istana Negara hari ini.
 Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
 Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak cuba membawa masuk ‘unsur luar' untuk mencampuri situasi politik negara ketika ini.

Abdul Hamid mengesahkan terdapat usaha untuk membawa elemen dari luar bagi membantu ‘pihak tertentu' menghadapi kemelut politik negara pada masa ini.

“Itu namanya pengkhianatan terhadap negara...jangan libatkan orang luar...kita dalam perbalahan adik-beradik antara parti.

"Di Parlimen kita boleh bertepuk tampar...kenapa kali ini nak keluar dari situ, nak mencetuskan keadaan yang tidak baik. Saya bagi amaran siapa yang cuba elemen-elemen dari luar, (ada) cita-cita nak bawa masuk, kalau saya dapat kesan saya akan ambil tindakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang di luar pagar Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, beliau turut menasihatkan pemimpin politik dan penyokong mereka supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berunsur provokatif selain meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang tidak logik dan tidak baik.

Berdasarkan perkara itu katanya, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak benar tentang keadaan yang berlaku di dalam Istana Negara semalam.

“Itu tidak baik, itu kuasa Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah). Bagaimana orang luar boleh tahu jumlah undi dengan tepat dan lain-lain. Saya telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah untuk ambil tindakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Abdul Hamid turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehadirannya dan Affendi ke Istana Negara hari ini.

Jelasnya, kehadiran mereka berdua adalah atas titah Seri Paduka untuk menyembah taklimat terkini tentang tahap keselamatan dan ketenteraman negara kepada Al-Sultan Abdullah.

Katanya, tanggapan yang menyatakan kehadiran Affendi dengan menaiki kenderaan rasmi Z1 mempunyai maksud tertentu adalah ‘satu permainan yang tidak bertanggungjawab’.

“Alhamdullillah kami telah menyembah taklimat bahawa keadaan masih aman serta tenteram dan terkawal, cuma ‘suhu’ meningkat,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan polis dan tentera akan sentiasa memastikan keadaan keselamatan di dalam serta sempadan negara terkawal dan orang awam boleh menjalankan rutin harian termasuk riadah hujung minggu tanpa perasaan bimbang.- Bernama