X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN BN diangkat jadi MB Johor

A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-18 menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu hari ini.

Hasni, 61, ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor juga Pengerusi UMNO Johor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di sini.

Peristiwa itu dikongsi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di akaun Facebooknya kira-kira jam 5.30 tadi.

Hasni menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pelantikan Hasni adalah susulan pengumuman Istana Johor semalam mengenai penubuhan kerajaan gabungan baharu yang merangkumi UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus membentuk majoriti mudah iaitu 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah hilang majoriti selepas Bersatu bertindak keluar daripada pakatan itu.

Rabu lalu Sultan Ibrahim bertemu dengan 54 ADUN Johor untuk mengetahui pilihan mereka susulan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Ia akan menjadikan pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Dr Sahruddin yang dilantik Menteri Besar ke-17 pada 14 April tahun lalu memegang tampuk kepimpinan bagi menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan selepas 11 bulan mentadbir kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakatan Harapan tumbang di Johor

PH Johor dakwa gabungan baharu tidak dapat sokongan majoriti

'Bukan lantikan pintu belakang'