Pakatan Harapan tumbang di Johor

Kenderaan yang dinaiki ADUN Johor memasuki perkarangan Bangunan Sultan Ibrahim setelah dititahkan menghadap Sultan Johor hari ini. -fotoBERNAMA
Kenderaan yang dinaiki ADUN Johor memasuki perkarangan Bangunan Sultan Ibrahim setelah dititahkan menghadap Sultan Johor hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

JOHOR BHARU- Johor akan ditadbir oleh kerajaan gabungan baharu terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, MIC dan Pas bagi menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Langkah itu berlaku selepas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu mempunyai bilangan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu itu.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata, keputusan itu diambil selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati bahawa gabungan baharu itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor memilih gabungan baharu, manakala 26 ADUN lagi memilih PH berdasarkan sesi temu bual Sultan Ibrahim bersama 56 ADUN berkenaan secara berperingkat di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan di sini semalam.

Namun, katanya, ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan ADUN Puteri Wangsa yang merupakan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang tidak hadir temu bual tersebut.

“Dalam temu bual diadakan di hadapan Sultan Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan ADUN berikutan kemelut politik yang menyaksikan Bersatu keluar PH pada 24 Februari lalu.

“Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau gabungan baharu.

“Tuanku berpuas hati gabungan parti yang baharu telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Jaba berkata, berikutan itu, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberi cadangan nama calon Menteri Besar Johor sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk dilantik.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdiri daripada UMNO iaitu 14 kerusi, selain DAP (14), Bersatu (11), Amanah (9), PKR (5), MIC (2) dan Pas (1).

ARTIKEL BERKAITAN Sultan Johor minta ADUN pilih PH atau gabungan baharu