Projek Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani Pulau Pinang dilancarkan April ini

GEORGE TOWN - Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani di Pulau Pinang akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung April ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, permohonan kebenaran merancang bagi projek tersebut telah dikemukakan pada akhir Januari lalu dan telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam tempoh kurang daripada 40 hari.
“Fasa pertama projek ini akan dilaksanakan di Seberang Jaya, manakala majoriti fasa lain terletak di Bandar Cassia, Batu Kawan.
"Kelulusan kebenaran merancang yang dipercepatkan ini bertujuan memastikan projek tersebut dapat dilancarkan dalam bulan ini.
"Saya dimaklumkan bahawa pelancaran dijadualkan pada penghujung April kerana pemaju memerlukan masa untuk memenuhi syarat di bawah kelulusan perancangan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Khamis.
Menurut Kon Yeow, kategori perumahan mampu milik Madani ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk menarik dan mengekalkan bakat di Pulau Pinang.
"Ketersediaan unit perumahan ini akan menjadi insentif kepada tenaga kerja untuk datang dan bekerja di negeri ini.
“Pulau Pinang berdepan isu kekurangan tenaga kerja, jadi kita mahu menggalakkan individu dari luar untuk bekerja di sini,” ujarnya.
Di bawah projek Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, Kon Yeow berkata, sebanyak 38,000 unit kediaman akan dibina di Pulau Pinang dalam tempoh 10 tahun.
"Unit-unit ini yang berharga antara RM225,000 hingga RM420,000 setiap satu akan menyasarkan golongan graduan dan mereka yang bekerja dalam sektor perindustrian.
"Sebahagian besar unit perumahan ini akan dibina menggunakan sistem bangunan berindustri modular (IBS). Sebuah kilang akan dibina bagi menghasilkan komponen untuk IBS modular dan ia dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa blok pertama projek Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani akan dibina secara konvensional sementara menunggu kilang tersebut siap.
“Sebaik sahaja kilang itu siap, baki unit dalam projek ini akan dibina sepenuhnya menggunakan IBS,” katanya.
Rumah Bakat Baru Madani adalah konsep kediaman yang bakal memberi peluang kepada rakyat luar Pulau Pinang untuk memiliki kediaman di negeri ini.
Secara dasarnya, rumah berkeluasan 83.6 meter persegi (900 kaki persegi) yang akan dibina di kawasan seluas 13.75 hektar di Seberang Jaya dan 65.35 hektar di Batu Kawan itu dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.
Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Pulau Pinang.
Disifatkan sebagai nilai pembangunan terbesar bagi rumah mampu milik dalam sejarah negara, projek usaha sama antara Penang Development Corporation (PDC), PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) menawarkan harga rumah antara RM300,000 hingga RM420,000, yang mensasarkan golongan B40 dan M40.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!