223 pesakit PHZ seluruh Pulau Pinang terima duit raya

Mohamad (kiri) menyerahkan sumbangan duit raya kepada salah seorang pesakit buah pinggang di Pusat Hemodialisis Zakat Lebuh Buckingham pada Selasa.
Mohamad (kiri) menyerahkan sumbangan duit raya kepada salah seorang pesakit buah pinggang di Pusat Hemodialisis Zakat Lebuh Buckingham pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seramai 223 pesakit buah pinggang yang menerima perkhidmatan rawatan hemodialisis di Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) di seluruh cawangan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menerima saguhati sebanyak RM700 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 197 pesakit yang menerima saguhati itu pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pemberian saguhati tersebut melibatkan jumlah keseluruhan RM156,100.

"Alhamdulillah tahun ini kita menyerahkan sebanyak RM700 sebagai saguhati kepada 223 pesakit buah pinggang di seluruh cawangan Zakat MAINPP sempena hari raya.

"Tahun lalu kita memberi saguhati sebanyak RM500 namun tahun ini, kita beri RM700 kerana kita mahu seragamkan dengan kadar saguhati hari raya untuk fakir dan miskin.

"Pemberian itu diluluskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Zakat MAINPP bagi tahun ini sebagai Saguhati Khas Aidilfitri kepada pesakit-pesakit PHZ," katanya ketika menghadiri Majlis Serahan Duit Raya Kepada Pesakit Dialisis Zakat MAINPP 2025 di Pusat Hemodialisis Zakat Lebuh Buckingham di sini pada Selasa.

Menurutnya, PHZ telah diwujudkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui ZPP pada 2001.

"PHZ merupakan projek agihan ZPP yang menawarkan perkhidmatan rawatan hemodialisis kepada asnaf yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang peringkat akhir.

"Sehingga kini, PHZ mempunyai lapan cawangan di seluruh Pulau Pinang yang memberikan rawatan percuma kepada 223 orang pesakit tanpa penajaan daripada mana-mana agensi atau syarikat takaful," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pesakit yang menerima rawatan di semua cawangan PHZ merupakan asnaf kategori fakir, miskin dan ghorimin.

"Pemberian saguhati khas ini adalah sebagai salah satu keprihatinan MAINPP dalam membantu pesakit-pesakit PHZ membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kesyukuran dan kegembiraan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!