Usia 12 tahun terjebak dadah, jenayah

KUALA LUMPUR – “Saya mula terjebak dengan kesengsaraan penagihan pelbagai jenis dadah sejak usia 12 tahun selepas melarikan diri dari rumah.”
Itu pendedahan Muhammad Hafiz Azri Zahari, 38, seorang bekas penagih yang kini berkhidmat sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun keempat.
Berkongsi kisahnya, lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, dia mula menyalahgunakan dadah selepas melarikan diri dari rumah akibat masalah keluarga sebelum merempat di bawah jambatan.
“Waktu itu, sekolah pun ‘on off’. Bila ada masalah keluarga, saya lari dari rumah dan tinggal di bawah jambatan sebelum bekerja di kedai makan.
“Di situ, saya mula bergaul dengan pelbagai jenis orang sebelum akhirnya terlibat dengan dadah.
“Pada mulanya, ketika berusia 12 tahun, jiwa saya memberontak. Sebagai budak-budak, mereka berikan morfin secara percuma sebelum saya mula ketagih. Lama-kelamaan, saya terjebak dengan syabu, ganja, dan ekstasi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Sahur Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Rumah Perantaraan AADK, Kampung Baru, di sini, pada Khamis.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Menurut Muhammad Hafiz, dia berubah selepas menempuh pelbagai cabaran, termasuk menerima rawatan di pusat pemulihan, menjalani program AADK, dan pernah menjalani hukuman penjara.
Sebagai anak tunggal, dia kini melihat peranannya sebagai PRS bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman, tetapi juga memberikan latihan silibus kepada klien AADK.
“Nasihat saya kepada rakan-rakan yang masih belum pulih, mereka perlu ada semangat dan keberanian untuk berubah,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Zainullah Asnawi, 42, berkongsi kisahnya yang mula terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada usia 17 tahun, selain terbabit dalam aktiviti jenayah.
Menurutnya, pergolakan keluarga menyebabkan dia berasa terpinggir, lalu tersalah memilih rakan sehingga mula mengambil dadah jenis ganja.
“Dari situ, saya mula minum alkohol, mengambil heroin dan pelbagai jenis pil dadah. Secara keseluruhan, ada 12 hingga 13 jenis dadah yang saya pernah ambil, dan heroin adalah yang paling lama saya ketagih.
“Kemudian, saya mula terlibat dalam jenayah seperti ragut, pecah rumah, samun, dan mencuri motosikal kerana cara itu lebih mudah untuk mendapatkan wang segera,” katanya.
Tambahnya, akibat terjebak dengan jenayah, dia telah tiga kali dipenjarakan iaitu pada tahun 2002 kerana kes dadah, 2008 kerana kes ragut, dan 2009 sekali lagi atas kesalahan berkaitan dadah.
Bagaimanapun, dia mula sedar bahawa jenayah yang dilakukan hanyalah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.
“Saya nekad berhenti ambil dadah, secara automatik saya juga berhenti melakukan jenayah.
“Pada tahun 2012, saya dimasukkan ke lokap, kemudian dijamin oleh sepupu sebelum dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Saya mengambil masa dua tahun untuk menjalani proses pemulihan,” jelasnya, yang kini telah berkhidmat sebagai PRS selama 12 tahun.
Justeru, dia berharap agar individu yang terjebak dengan dadah perlu berani untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan rawatan pemulihan di bawah AADK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
