Surah Al-Saff cerminan perjuangan rakyat Palestin

Buat pertama kalinya Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh berkolaborasi dengan Pondok Hidayatullah menganjurkan program World #QuranHour di Tanjung Kepah, Batu 8, Lekir pada Rabu.
Buat pertama kalinya Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh berkolaborasi dengan Pondok Hidayatullah menganjurkan program World #QuranHour di Tanjung Kepah, Batu 8, Lekir pada Rabu.
A
A
A

SITIAWAN - Pemilihan Surah Al-Saff dalam program World #QuranHour dilihat bertepatan dengan semangat perjuangan rakyat Palestin mempertahankan tanah air serta menegakkan agama ALLAH dengan penuh disiplin dan keteguhan iman.

Timbalan Mudir Pondok Hidayatullah, Abu Bakar Omar berkata, pemilihan surah tersebut bukan sekadar mengajak umat Islam memahami ayat-ayat suci al-Quran, malah mengingatkan mereka tentang kepentingan kesatuan dan disiplin dalam memperjuangkan kebenaran.

Abu Bakar
Abu Bakar

Menurutnya, disebabkan disiplin yang ditunjukkan oleh pasukan pejuang Palestin itu menyebabkan mereka sukar ditewaskan oleh tentera Zionis Israel.

"Surah Al-Saff mengajar kita tentang kepentingan saf yang tersusun dalam solat dan dalam perjuangan menegakkan Islam. Ia berkaitan dengan disiplin yang diperlukan, termasuk dalam bulan Ramadan, di mana kita diajar untuk menepati waktu sahur dan berbuka.

"Begitu juga dalam perjuangan rakyat Palestin, khususnya Briged Al-Qassam, yang terkenal dengan disiplin mereka. Mereka memilih pejuang yang bangun tahajud, menghafal al-Quran, dan menjaga kesatuan saf mereka. Inilah yang menjadikan mereka begitu kuat dan sukar ditewaskan,” katanya kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Program World #QuranHour yang diadakan di Pondok Hidayatullah menghimpunkan lebih 120 peserta, termasuk 80 pelajar pondok dan wakil dari Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh.
Program World #QuranHour yang diadakan di Pondok Hidayatullah menghimpunkan lebih 120 peserta, termasuk 80 pelajar pondok dan wakil dari Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh.

Beliau berkata demikian sempena program World #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bersama Pondok Hidayatullah, Tanjung Kepah, Batu 8, Lekir di sini pada Rabu.

Abu Bakar berkata, kejayaan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka boleh dikaitkan dengan janji ALLAH dalam Surah Al-Asr, yang menegaskan bahawa kejayaan adalah milik mereka yang beriman, beramal soleh serta berdisiplin dalam perjuangan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Saff bersama semua peserta diikuti tadabbur yang disampaikan oleh Abu Bakar.

Hadir sama pada program tersebut, Pengerusi Persatuan Jamaiyah Raudhah As-Solihin, Mohd Shubari Mat.

Sementara itu, penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program World #QuranHour yang diadakan di Pondok Hidayatullah buat pertama kalinya itu menghimpunkan lebih 120 peserta, termasuk 80 pelajar pondok dan wakil dari Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh.

Maziah
Maziah

Katanya, pemilihan institusi pondok tersebut sebagai lokasi penganjuran bertujuan mengeratkan hubungan antara masyarakat dan para pelajar tahfiz, di samping menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan memahami serta mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Alhamdulillah, kami berkumpul di pondok ini dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan. Selain berkongsi ilmu dan pengalaman, kami berharap usaha ini dapat diteruskan ke tempat-tempat lain agar lebih ramai orang dapat mendekati al-Quran.

"Kami tidak mahu hanya membaca al-Quran, tetapi mahu menjadikannya sebahagian daripada rutin harian. Ia bukan sekadar bacaan, tetapi juga perlu difahami dan diamalkan," katanya.

Maziah berkata, program yang berlangsung dengan kerjasama pihak pondok itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, Selain World #QuranHour, Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh juga aktif menjalankan pelbagai program sepanjang Ramadan, termasuk sesi tadarus harian dan majlis khatam al-Quran.

Katanya, mereka juga turut mengadakan program amal dengan mengunjungi rumah-rumah golongan yang memerlukan untuk menyampaikan sumbangan hasil kutipan daripada ahli Rumah Ngaji yang prihatin.

Ditanya mengenai penganjuran lebih awal World #QuranHour berbanding tarikh sebenar, Maziah menjelaskan mereka mengadakan lebih awal kerana sebahagian ahli Rumah Ngaji akan menghadiri program kemuncak World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 25 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!