'Serangan kali ini lebih dahsyat'

SHAH ALAM - "Serangan udara kali ini lebih dahsyat berbanding sebelumnya.”
Demikian kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman apabila Israel kembali membedil Gaza, Palestin pada Selasa.
Muhammad Nadir berkata, serangan kali ini menyasarkan kawasan berdekatan lokasi kediaman isterinya, Reem Al-Minawi bersama tujuh anak.
Menurut beliau, rakyat Gaza juga kembali berdepan krisis bekalan makanan disebabkan penutupan sempadan Rafah.
“Mereka dibunuh oleh rejim Zionis dalam keadaan kelaparan, belum berbuka puasa kerana serangan tanpa henti untuk tempoh 40 jam terakhir ini. Pihak kami pun terpaksa menangguhkan beberapa projek yang sepatutnya diadakan sepanjang Ramadan.
“Pada pendapat saya, apa yang kerajaan Malaysia boleh lakukan adalah menggerakkan semula semangat rakyat di negara ini dengan turun ke jalan raya dan adakan demonstrasi tanpa putus untuk menunjukkan solidariti supaya Palestin tahu Malaysia masih bersama mereka.
“Sokongan kita tidak pernah putus, tetapi ia perlu dimanifestasikan. Masyarakat antarabangsa umumnya sudah menyedari bahawa mereka tidak mampu lakukan apa-apa untuk menghentikan Israel secara langsung. Tekanan hendaklah diberikan kepada pihak yang masih bersama-sama Israel misalnya negara Arab,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut pihak berkuasa Palestin, kira-kira 400 orang terbunuh selepas Israel melancarkan gelombang serangan udara besar-besaran ke atas Gaza pada awal pagi Selasa dan sebahagian besar mangsa terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Gaza, Palestin, Nurul Ain Haron berkata, dia dan suaminya, Mohamed A M Shaat reda dengan sebarang kemungkinan berhubung keselamatan keluarga mentua di kampung halaman di wilayah Khan Younis.
Jelasnya, ia kerana kali terakhir dia berkomunikasi dengan bapa mentua sekitar dua hari lepas dan keberadaan keluarga di sana belum diketahui sehingga kini.
“Saya gagal hubungi ayah mentua sejak dua hari lepas, tetapi kakak ipar beritahu ayah dalam keadaan baik.
“Semalam (Selasa) saya terkejut apabila kakak ipar mesej minta doakan keselamatan mereka kerana ada serangan di Khan Younis serta lebih 50 orang mati syahid,” kongsi Nurul Ain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!