Polis rakam kenyataan 5 individu berkaitan penularan video Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR - Polis selesai merekod keterangan lima individu bagi membantu siasatan berkaitan rakaman video membabitkan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang tular menerusi laman sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, mereka ialah perakam video itu sendiri, suami dan rakannya, wanita yang memuat naik video berkenaan dan ibu kepada Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf.
"Berdasarkan siasatan, video berkenaan dimuat naik ke laman sosial sebagai tanda sokongan dan keadilan kepada Zayn Rayyan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada 11 Mac lepas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan Ismanira membuat satu laporan polis berhubung satu pautan video TikTok yang diterimanya melalui aplikasi WhatsApp.
Pautan video berdurasi kira-kira satu minit itu menunjukkan Ismanira sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya iaitu Zayn Rayyan dan adiknya yang berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.
Mohd Hafiz berkata, laporan itu dibuat berikutan Ismanira merasakan bahawa keselamatan beliau dan keluarganya berada dalam keadaan terancam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
