Polis cari wanita muat naik video Ismanira pimpin tangan Zayn Rayyan

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan seorang wanita yang memuat naik video memaparkan rakaman ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berjalan sambil memimpin tangan dua anaknya di kawasan parkir motosikal Blok R Apartmen Idaman Damansara Damai di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, wanita terbabit adalah individu yang memuat naik video itu di dalam kumpulan WhatsApp, sebelum ia tular.
"Kita sedang mengesan wanita yang terawal memuat naik video itu di dalam kumpulan WhatsApp.
"Selain itu, pemilik akaun media sosial yang turut memuat naik video tersebut baru-baru ini sehingga tular juga sudah tampil membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Balai Polis Kampung Baru Subang menerima laporan daripada ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, yang memaklumkan beliau telah menerima satu pautan video Tiktok melalui aplikasi WhatsApp.
Dalam pautan itu terdapat rakaman video menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anak iaitu Allahyarham Zayn Rayyan dan Mateen menuju kawasan parkir motosikal Blok R apartmen berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, Ismanira membuat laporan itu kerana merasakan bahawa keselamatan beliau dan keluarganya berada dalam keadaan terancam.
Pada 6 Disember 2023, mayat kanak-kanak malang itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Mangsa dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada leher serta badan Zayn Rayyan akibat mempertahankan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!