Covid-19: Malaysia sekat semua pelancong Korea serta-merta

Imigresen meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.
Imigresen meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengenakan sekatan masuk sementara terhadap semua pelawat dari Korea berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, sekatan itu termasuk warganegara asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia.

"Ini meliputi pelawat yang transit melalui Malaysia," katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia perlu menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bagi meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) turut menyediakan kaunter khas untuk pelawat dari Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran," katanya.

Beliau berkata, KKM terus memantau secara rapi perkembangan kejadian jangkitan koronavirus (Covid-19) di Korea, Jepun, Itali dan Iran dan negara-negara lain yang turut melaporkan kes.

"Buat masa ini rakyat Malaysia dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak di China, Korea, Jepun, Itali dan Iran.

"Pihak berkuasa Malaysia akan membuat penilaian berterusan dalam usaha mengawal dan menghapuskan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Langkah-langkah tersebut akan dibatalkan sekiranya keadaan pulih semula," katanya.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Covid-19 bersama pelbagai agensi yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melibatkan KKM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Imigresen, Kementerian Luar Negeri dan agensi-agensi lain.

Tambahnya, KKM ingin menasihatkan semua warga kementerian untuk sentiasa peka kepada situasi semasa berkaitan Covid-19 bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dan respon terhadap penyakit ini.

"Orang awam juga dinasihatkan, sekiranya bergejala dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari melawati China, Korea, Jepun, Itali dan Iran untuk memaklumkan mengenai sejarah perjalanan tersebut kepada pengamal perubatan apabila pergi mendapatkan rawatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 763 orang dijangkiti, tujuh kematian di Korea Selatan