[VIDEO] 'Kalau adik masuk syurga, tariklah kami sekali'
TAIPING – Kemalangan ngeri yang berlaku pada 1 Mei 2012 menjadi detik hitam buat seorang anak bongsu daripada tiga orang adik beradik yang kini terlantar selama 13 tahun di rumah kakaknya di Taman Kamunting Mutiara, di sini.
Lebih menyayat hati, ibu bapanya turut meninggal dunia akibat kemalangan tersebut, meninggalkan Noor Hidayah Mohamad Nor, 35, dalam jagaan kakaknya, Noor Farleny Mohamad Nor, 43, yang kini bergantung sepenuhnya kepada penjagaan rapi.
Noor Farleny berkata, tragedi hitam itu berlaku di Bukit Gantang ketika Noor Hidayah dan ibu bapanya dalam perjalanan dari Ipoh ke Taiping melanggar sebuah lori.

"Kemalangan itu, kesemua mereka mengalami kecederaan parah, adik koma selama empat bulan dan menjalani rawatan intensif di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama lapan bulan.
"Mak dan ayah pula meninggal dunia beberapa bulan selepas itu akibat kecederaan dialami akibat kemalangan itu. Jadi tinggallah kami bertiga dan mulai saat itu keadaan adik tidak lagi seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Disebabkan keadaan itu, Noor Farleny yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi menjaga adiknya.
Katanya, disebabkan tempurung kepala Noor Hidayah yang retak, sebahagian daripadanya terpaksa dibuang bagi mengelak komplikasi dan sawan.

Menurutnya, Noor Hidayah pernah menjalani dua pembedahan memasukkan titanium menggantikan tempurung kepala yang dibuang, tetapi terpaksa dihentikan akibat serangan sawan.
"Adik tidak boleh menguruskan diri, malah bercakap juga hanya beberapa perkataan tetapi dia faham apabila kita bersembang dan memberi reaksi jika inginkan sesuatu.
"Dia tak pernah menyusahkan saya. Cuma saya sedih sebab dia tak boleh jalan macam dulu. Walau apa pun yang berlaku, saya akan jaga dia selagi ada hayat. Kalau dia masuk syurga nanti, saya harap dia tarik tangan kami sekeluarga,” katanya dengan sebak.

Noor Farleny berkata, adik bongsunya itu menjalani rawatan berkala setiap enam bulan di HRPB dan kos penjagaan juga menjadi cabaran kerana barang-barang keperluan Noor Hidayah agak mahal.
Jelasnya, seboleh mungkin mereka sekeluarga akan berjimat dengan membeli barang-barang di platform dalam talian antara keperluannya termasuklah stoma, ubat-ubatan dan vitamin yang boleh mencecah RM700 sebulan.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana suaminya, Mohd Sukri Awang Kechik, 43, sentiasa menyokong keputusan untuk menjaga adik kesayangan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, selepas kisah mereka tular di media sosial, ramai pihak menghulurkan bantuan, termasuk dari luar negara seperti Australia.
“Saya sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan semua yang sudi membantu kami termasuklah dari Australia. Tak sangka kisah kami ini tular sampaikan ada yang kata saya ambil kesempatan untuk dapatkan simpati.
"Tapi saya positif, biarpun ada pihak yang tak senang dengan kami, saya anggap ini rezeki Noor Hidayah. Saya mohon orang ramai doakan adik saya sihat," luahnya.
Noor Farleny berkata, selain mengharapkan pendapatan suami, adiknya itu turut mendapat bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pencen arwah ayah.
Menurutnya, bantuan daripada agensi kebajikan pula tidak diterima kerana mereka dikategorikan sebagai tidak layak setelah permohonan dibuat sebelum ini.
Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Hong Leong Bank atas nama Noor Farleny Mohamad Nor bernombor 11501028690 atau menghubunginya di talian 011-10735927.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!