Kes ICC: Giliran siapa pula selepas Duterte?

THE HAGUE - Tiada siapa menyangka bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akhirnya diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague atas peranan beliau dalam pembunuhan di luar proses undang-undang di bawah kempen kontroversi antidadah di bawah kepimpinannya.
Banyak pihak berpendapat penahanan Duterte, 79, yang berdepan pertuduhan jenayah kemanusiaan tidak memadai kerana ramai lagi pemimpin yang 'kebal' seperti Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meskipun turut berdepan waran tangkap ICC sebelum ini.
Di bawah waran tangkap dikeluarkan tribunal antarabangsa itu, kira-kira 122 negara anggota ICC termasuk Perancis dan Britain bertanggungjawab untuk memberkas pemimpin ekstremis tersebut jika Netanyahu menjejakkan di wilayah mereka.
Tetapi, sokongan berterusan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan penahanan beliau untuk menghadapi perbicaraan di The Hague adalah perkara mustahil memandangkan Washington dan Tel Aviv bukan negara anggota ICC.
Duterte tiba di The Hague pada Selasa lalu dan tidak mencari sebarang helah untuk mengelakkan penahanannya kerana beliau yakin tidak melakukan sebarang kesalahan kerana melancarkan perang narkotik yang dikatakan meragut puluhan ribu nyawa semasa berkhidmat sebagai Datuk Bandar Davao dan Presiden ke-16 Filipina (2016-2022).
ICC pertama kali dimaklumkan tentang tindakan kekerasan itu pada 2016, namun siasatan hanya dilancarkan pada 2021 meliputi kes daripada November 2011 hingga Mac 2019 iaitu sebelum Manila di bawah kepimpinannya menarik diri daripada tribunal tersebut.
Pada masa itu, Duterte berulang kali berikrar akan menyasarkan lebih ramai pengedar dadah jika beliau berpeluang untuk berbuat demikian.
Proses untuk membawa beliau ke The Hague tidak berdepan sebarang halangan kerana kerjasama penuh diberikan pentadbiran penggantinya, Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr.

Waris harapkan keadilan
Sebelum ini, Marcos Jr dikatakan enggan 'membantu' ICC memberkas Duterte dan memberi alasan kes itu hanyalah isu domestik.
Tetapi, hubungan yang tegang bersama anaknya yang juga Naib Presiden, Sara Duterte sejak akhir-akhir ini menyebabkan Marcos Jr akur dengan tuntutan tersebut.
Puluhan ribu waris keluarga mangsa kempen pembunuhan di luar proses undang-undang Duterte kini mengharapkan keadilan dapat ditegakkan.
Bagi komuniti di seluruh Asia Tenggara, perbicaraan ke atas beliau akan dapat menunjukkan hak asasi manusia adalah norma yang akan membawa rantau berkenaan ke arah masa depan lebih baik.
Tetapi, segelintir pemimpin yang menghadapi isu berkaitan hak asasi manusia walaupun pelaksanaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 2012 semestinya berasa bimbang dan melihat penahanan Duterte sebagai 'penggera' buat mereka.

Golongan itu perlu bersedia kerana terdapat mekanisme antarabangsa termasuk ICC yang akan memastikan individu terlibat bertanggungjawab atas kekejaman dan jenayah kemanusiaan dilakukan mereka.
Siapa yang bakal senasib Duterte selepas ini? mungkinkah pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing yang berada dalam senarai dikehendaki pendakwa raya ICC.
Aung Hlaing berdepan tuduhan melakukan jenayah perang termasuk tindakan kekerasan ke atas etnik Rohingya yang didalangi tentera sebelum insiden kudeta pada Februari 2021.
Pendakwa raya, Karim Khan mendakwa ketua junta tersebut terlibat jenayah itu sejak Ogos hingga Disember 2017 dan beliau pernah memohon waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.
Di ASEAN, Kemboja merupakan satu-satunya negara yang meratifikasi Statut Rom manakala Malaysia membuat pusingan U selepas menandatangani dokumen tersebut pada 2019.
Adalah penting untuk memastikan selepas Duterte, tiada lagi pemimpin yang melakukan tindakan kekerasan secara melampau untuk memegang kuasa. - Agensi
Info
>Setakat ini, ICC telah mendakwa 68 individu termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin manakala prosiding terhadap 34 suspek jenayah perang sedang berjalan.
>Difahamkan, 30 individu masih bebas, tiga sedang menjalani hukuman dan empat individu bernasib baik selepas pertuduhan ke atas mereka digugurkan.
>Tribunal tersebut dikatakan hanya mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang dilakukan selepas penguatkuasaan Statut Rom pada 1 Julai 2002.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

