Puluhan anjing liar ancam nyawa kanak-kanak

Tangkap layar kamera litar tertutup (CCTV) dapat melihat anjing-anjing liar ini menganggu dan merosakkan kasut milik penduduk Kampung Seri Kaya, Bota. Foto ihsan pembaca (Gambar dari kiri: Nor Hana, Rahimi, Norehan)
Tangkap layar kamera litar tertutup (CCTV) dapat melihat anjing-anjing liar ini menganggu dan merosakkan kasut milik penduduk Kampung Seri Kaya, Bota. Foto ihsan pembaca (Gambar dari kiri: Nor Hana, Rahimi, Norehan)
A
A
A

PENDUDUK di Kampung Tersusun Seri Kaya dan Kampung Ekor Bota, Bota resah dengan peningkatan populasi anjing liar yang mengganggu kehidupan harian mereka.

Gangguan haiwan itu bukan sekadar mengancam keselamatan, malah menjejaskan kebersihan dan keselesaan persekitaran.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NOOR AINON MOHAMED YUSOF menerusi kolum Apa Khabar Rakyat bagi mendengar aduan penduduk itu.

Peningkatan mendadak bilangan anjing liar di kawasan penempatan itu sejak dua tahun lalu menimbulkan kebimbangan lebih 200 penduduk setempat.

Suri rumah, Nor Hana Daud, 67, berkata, anjing liar berkenaan dipercayai berasal dari kebun kelapa sawit berhampiran dan menghampiri penempatan penduduk untuk mendapatkan makanan.

Katanya, lebih 10 ekor anjing liar telah membunuh ternakan ayam dan itik miliknya.

Kumpulan anjing liar berkeliaran di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kaya kerap dilihat menganggu kanak-kanak ke sekolah.
Kumpulan anjing liar berkeliaran di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kaya kerap dilihat menganggu kanak-kanak ke sekolah.

“Saya sudah lama membela ayam dan itik untuk keperluan keluarga, tetapi sejak tahun lalu, banyak ternakan saya mati digigit anjing walaupun berada dalam kandang.

“Melihat kawanan ini semakin agresif, saya pun tidak berani berada di luar rumah berseorangan, sama ada untuk bercucuk tanam atau membersihkan halaman.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya pada waktu petang, saya berjalan kaki mengambil angin atau ke rumah jiran, tetapi kini saya tidak berani lagi kerana bimbang diserang anjing liar,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Rahimi Mohd Ariff, 38, tindakan segera perlu diambil apabila tiga anaknya kini trauma untuk bermain di halaman rumah.

Menurutnya, kejadian anaknya yang berusia tujuh tahun dikejar anjing awal tahun lalu menyebabkan persekitaran kampung dirasakan sudah tidak lagi selamat.

“Anjing itu menyalak sambil mengejar anak saya yang sedang bermain di halaman rumah. Anak saya luka di kaki akibat terjatuh kerana cuba melarikan diri. Saya bersyukur berada di rumah ketika itu.

“Sekarang, saya tidak boleh leka membiarkan mereka bermain bola dan berbasikal. Saya perlu sentiasa memantau mereka kerana bimbang anjing liar ini menyerang,” katanya.

Tambah Rahimi, disebabkan trauma, anaknya yang lain, berusia 10 dan enam tahun, perlu dihantar ke sekolah yang terletak kurang 100 meter dari rumah kerana tidak lagi berani berjalan kaki atau menaiki basikal seperti kebiasaannya.

Penduduk, Norehan Ahmad, 60, pula berkata, pernah berlaku kejadian anjing liar melarikan pakaian yang disidai di ampaian.

Disebabkan kejadian itu, penduduk mengambil inisiatif membuat pengadang di pintu pagar supaya anjing tidak dapat masuk dan merosakkan kasut, selain mengelakkan mereka daripada perlu melakukan sertu setiap hari.

“Saya sendiri terpaksa mengeluarkan belanja mengupah orang untuk menggali lubang bagi dijadikan tempat membuang sampah supaya anjing tidak dapat menyelongkar tong sampah,” katanya.

Tambah Norehan, dia bimbang apabila menjelang Aidilfitri nanti, anjing liar itu akan mengganggu tetamu dan sanak saudara yang datang menziarah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ekor Bota, Mohamed Johari Mohamed Alwi, berkata, aduan telah diajukan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan siasatan telah dilakukan pada November lalu, namun tiada tindakan lanjut diambil.

“Kami dimaklumkan bahawa akan ada satu mesyuarat penyelarasan antara Pejabat Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Perak Tengah, tetapi setakat itu sahaja.

“Selagi tiada penyelesaian konkrit, penduduk terpaksa berdepan dengan risiko dan gangguan harian akibat peningkatan jumlah anjing liar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menegaskan kepentingan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan.

“Banyak kes anjing liar ini berpunca daripada anjing peliharaan yang dibuang atau dibiarkan berkeliaran untuk menjaga kebun. Jika pemilik lebih bertanggungjawab, masalah ini boleh dikurangkan.

“Kaedah sterilisasi dan vaksinasi anjing liar boleh membantu mengawal populasi mereka tanpa perlu tindakan keras. Kita tidak mahu hanya kerana isu anjing liar ini, ia menjadi punca penularan rabies atau penyakit anjing gila,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!