'Saya juga terima mesej satu kelas jadi tebusan'

TAPAH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui turut menerima banyak mesej melalui aplikasi WhatApps memaklumkan kejadian serangan pengganas dan tebusan di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada Isnin.
Menurutnya, sepertimana orang lain, beliau turut memberi reaksi bimbang dan cemas dengan kejadian itu, sebelum mendapatkan kesahihan daripada pihak terlibat.
"Ada orang hantar mesej kepada saya beritahu bahawa satu kelas ini telah menjadi tebusan.
"Kebetulan pagi semalam (Isnin), saya mempengerusikan mesyuarat Anggota Yayasan Perak dan di situ ada Exco Pendidikan dan Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Jadi saya minta Exco untuk semak apa yang berlaku dan dari situlah diberitahu bahawa ianya hanya latihan," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Dari Mata Turun ke Hati-Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cakna Komuniti di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ahmad di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Saarani yang turut memegang portfolio Exco Keselamatan negeri berkata, latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan, Ex Kurung yang dijalankan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando itu adalah satu keperluan sebagai persiapan menghadapi situasi sebenar.
Katanya, bagi mendapatkan gambaran yang tepat akan kesiapsiagaan pasukan keselamatan, maka perkara itu dilakukan secara rahsia tanpa makluman semua pihak.
"Macam-macam orang buat spekulasi, selama ni pun mereka tidak khabarkan pada orang, tetapi semalam entah macam mana benda (latihan) itu pecah dan jadi heboh.
"Orang ramai perlu tahu betapa sukar dan susahnya mereka yang terbabit dengan (menjaga) keselamatan ini, seperti yang berlaku di Lahad Datu.
"Sebab itu kena sentiasa ada latihan secara berkala dibuat dan kita pun tak bolehlah take for granted (ambil mudah)," katanya.
Pada Isnin, polis dalam satu kenyataan mengesahkan insiden 'pengganas', 'tembakan' dan 'tebusan pelajar' di PUO yang mencetuskan panik dan tular di media sosial adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis dikenali sebagai Ex Kurung.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun mengalami kecederaan seliuh pada kaki kiri selepas terjatuh ketika berlari untuk menyelamatkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!