Sok Ying tak sangka resipi mesra Muslim dikongsi dapat sambutan ramai

SHAH ALAM - Berkongsi resipi masakan Cina mesra Muslim sepanjang Ramadan menjadi pengalaman berharga buat seorang pempengaruh media sosial apabila perkongsiannya itu menerima sambutan luar biasa daripada pengikutnya.
Pempengaruh meningkat naik, Low Sok Ying berkata, dia tidak menyangka ramai berminat mencuba resipi ringkas yang dikongsinya di TikTok, terutama dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
“Saya hanya mahu berkongsi kehidupan harian dan makanan yang saya masak, tetapi tak sangka ramai minta saya tunjuk lebih banyak resipi makanan Cina yang mesra Muslim dan halal.
“Saya juga mahu makanan yang saya kongsi boleh dinikmati oleh semua orang, jadi saya akan pastikan bahan-bahannya halal dan sesuai untuk semua,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain berkongsi resipi, Sok Ying juga mencabar dirinya untuk berpuasa penuh sepanjang Ramadan tahun ini.
Jelasnya, walaupun dia pernah mencuba berpuasa bermula pada tahun 2023, kali ini dia lebih serius dan berusaha menahan diri sepanjang hari.
Dia yang merupakan pemilik akaun TikTok @lowsokying menambah, berpuasa membuatkan dia meningkatkan kefahamannya tentang budaya dan amalan umat Islam termasuk kesusahan yang dihadapi oleh golongan tidak berkemampuan.
“Setakat ini saya masih berpuasa penuh... dan bagi saya cabaran paling besar ialah menahan lapar apabila melihat orang lain makan. Tambah lagi bila saya berada di pusat beli-belah atau di bazar Ramadan.
“Kalau lapar saya akan sibukkan diri dan isi masa dengan kerja, sampai tiba-tiba sudah masuk waktu berbuka... dan saya rasa ia satu trik paling berkesan untuk mengalihkan perhatian daripada rasa lapar dan dahaga,” jelasnya.
Berkongsi tentang pengalaman sahur, Sok Ying berkata, kebiasaannya dia akan bangun seawal jam 4.30 pagi untuk memasak makanan ringkas seperti nasi atau mi bagi memastikan dia kenyang lebih lama.
Menurut Sok Ying yang tidak mempunyai masalah bangun sahur, dia juga bercadang untuk mencuba amalan bersahur dengan kurma dan susu selepas ramai yang mencadangkan makanan itu boleh membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari.

“Berkenaan pergi ke bazar pula, setakat ini saya ada pergi ke bazar seperti Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan beberapa yang lain, memang banyak pilihan makanan yang ada sampai saya sendiri tak tahu nak beli apa.
"Tetapi saya pastikan akan beli dalam jumlah yang cukup supaya tidak membazir, lagipun itu memang salah satu ajaran yang diajar dalam Islam, bukan? Jadi saya cuba untuk ikut juga.
“Sejujurnya, saya hanya mahu tahu bagaimana rasanya berpuasa, tetapi lama-kelamaan saya sedar ia banyak mengajar tentang disiplin dan kesabaran. Apa yang ada di atas meja semua saya akan makan, saya tak mahu membazir dan sentiasa bersyukur,” ujar Sok Ying.
Mengulas berkenaan kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Sok Ying mengakui teruja untuk meraikannya dan percaya bahawa perayaan itu merupakan peluang menghargai serta memahami budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Sebenarnya saya sudah beli baju raya... dan apa yang saya suka tentang raya lagi ialah makanan, saya sangat suka rendang, ketupat dan paling suka lontong!” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!