Maritim perketat kawalan perairan musim perayaan

Penugasan menerusi Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 yang bermula Rabu lalu itu dilaksanakan bagi membanteras jenayah di perairan

Bot nelayan diperiksa ketika Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025.
FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Bot nelayan diperiksa ketika Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

PASIR PUTEH – Biarpun terpaksa meredah laut bergelora dalam keadaan berpuasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan teguh memastikan keselamatan perairan negara terjamin sepanjang Ramadan hingga Syawal.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, penugasan menerusi Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 yang bermula Rabu lalu itu dilaksanakan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan serta aktiviti haram seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijangka meningkat ketika musim perayaan.

Anggota Maritim Malaysia negeri Kelantan berpuasa dan berbuka puasa di atas kapal.
FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Anggota Maritim Malaysia negeri Kelantan berpuasa dan berbuka puasa di atas kapal. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Ketika ramai yang berbuka puasa bersama keluarga, ada anggota yang terpaksa meredah laut bergelora, berdepan angin kencang dan mempertaruhkan nyawa demi menjalankan tugas.

“Ada juga yang terpaksa menyambut Aidilfitri di tengah lautan, jauh dari keluarga tetapi tetap memastikan perairan negara terjamin,” katanya dalam sidang akhbar sempena Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 di sini pada Isnin.

Erwan Shah berkata, walaupun terdapat anggapan bahawa penguatkuasaan maritim akan berkurangan sepanjang Ramadan dan Syawal, hakikatnya Maritim Malaysia tidak pernah berehat.

“Kami mahu bakal pesalah tahu bahawa mereka tidak akan terlepas.

“Jangan cuba-cuba menyeludup atau menceroboh perairan negara kerana kami sentiasa ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Maritim Malaysia negeri Kelantan yang menjaga perairan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.
FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Maritim Malaysia negeri Kelantan yang menjaga perairan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, sebanyak 28 anggota ditugaskan sepanjang musim perayaan dengan sekurang-kurangnya satu kapal dan satu bot peronda di laut setiap hari.

Pemantauan dilakukan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sehingga 200 batu nautika dari muara Tok Bali, manakala bot peronda mengawasi kawasan dalam radius 20 hingga 40 batu nautika bergantung kepada keadaan cuaca.

Beliau turut berkongsi kejayaan Op Khas Pagar Laut 2024, di mana 121 kes tangkapan direkodkan dengan nilai rampasan hampir RM9 juta.

“Di Kelantan, kami menahan tiga bot nelayan asing dan dua bot nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan, termasuk ketiadaan lesen, permit kerja serta dokumen perjalanan sah,” katanya.

Beliau mengakui bahawa cuaca tidak menentu menjadi cabaran besar kepada operasi kali ini.

“Akhir-akhir ini, keadaan cuaca tidak menentu dan kami berharap keadaan lebih baik sepanjang operasi bagi memudahkan pemantauan serta pemeriksaan.

“Namun, apa pun cabarannya, kami tetap komited menjaga keselamatan perairan negara, terutama ketika musim perayaan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!