Trump tertampar, Huthi lancar serangan balas

SANAA - Gerakan Huthi pada Isnin melancarkan dua serangan menyasarkan kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 24 jam, di bawah serangan balas yang memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Presiden Donald Trump.
Kumpulan disokong Iran itu menyasarkan USS Harry Truman dan beberapa kapal perang pengiringnya di Laut Merah.
Jurucakap Huthi menerusi kenyataan di aplikasi Telegram mengesahkan operasi itu adalah tindak balas terhadap pencerobohan berterusan yang dilakukan AS terhadap Yemen.
“Ketegangan ini akan meningkat jika Washington teruskan kempen agresif mereka,” kata pemimpin gerakan itu, Abdul Malik al-Houthi.
Sementara itu, Biro Politik Huthi menyifatkan serangan ganas AS itu jelas adalah satu bentuk 'jenayah perang'.
Terdahulu, Washington dengan angkuh menyatakan ia akan terus membedil Sanaa selagi Huthi tidak menghentikan operasi mereka di laluan perkapalan Laut Merah yang dilancarkan semula pada minggu lalu sebagai simbol solidariti dengan penduduk Gaza yang kini berdepan sekatan akses bantuan kemanusiaan.
Serangan ganas AS pada Sabtu telah meragut sekurang-kurangnya 53 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak manakala hampir 100 yang lain cedera.
AS kembali mengebom Yemen pada malam Ahad dengan menyasarkan sebuah kilang kapas di wilayah Hodeida dan kapal Israel, Galaxy Leader yang dirampas lebih setahun lalu.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menerusi wawancara bersama program Sunday Morning Futures berkata, mereka akan menghentikan operasi itu apabila Huthi akur untuk menamatkan misi mereka.
“Ia bertujuan untuk mewujudkan persekitaran selamat di perairan kritikal tersebut dan membuka semula kebebasan navigasi yang merupakan kepentingan teras AS,” ujarnya.
Susulan insiden keganasan terbaharu di Asia Barat itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak kedua-dua belah pihak supaya menghentikan kesemua aktiviti ketenteraan dan gesaan sama turut disuarakan Rusia.
Operasi ketenteraan ke atas Huthi itu dilancarkan buat pertama kali sejak Trump kembali ke Rumah Putih. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!