UMK30 langkah baharu ke arah kecemerlangan keusahawanan global

Individu berprofil tinggi dilantik sebagai Penasihat Terkemuka Industri dan Keusahawanan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Individu berprofil tinggi dilantik sebagai Penasihat Terkemuka Industri dan Keusahawanan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengorak langkah besar ke arah kecemerlangan dengan memperkenalkan Pelan Strategik UMK 2025-2030 (UMK30) yang berteraskan inovasi, keusahawanan dan pengantarabangsaan.

Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Arham Abdullah berkata, pelan itu bukan sekadar perancangan jangka panjang, tetapi satu ikhtiar holistik untuk memastikan UMK terus berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata, UMK30 mengandungi 14 langkah strategik yang dirangka bagi memastikan universiti itu berkembang secara mampan dan relevan dengan keperluan semasa.

Arham. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Arham. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Setiap tahun, strategi ini akan diperhalusi agar UMK mencapai sasaran menjelang 2030.

“Kami memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama seperti pengantarabangsaan pelajar, pembangunan akademik yang boleh dikomersialkan, peningkatan infrastruktur serta pembinaan jati diri pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Perutusan Naib Canselor UMK 2025 di Dewan Tuanku Canselor UMK di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, UMK juga melantik lima individu berprofil tinggi sebagai Penasihat Terkemuka Industri dan Keusahawanan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan.

Mereka ialah Pengerusi Dagang NeXchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistic Group, Datuk Seri Dr Michael Tio; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group, Datuk Kamarulazman Muhamed; Ketua Pegawai Eksekutif Hannan Medispa, Dr Mohd Hannan Yusof serta Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Reyhut Automation, Badzlan Bakar.

Artikel Berkaitan:

Arham berkata, UMK kini dalam usaha memperluaskan kemasukan pelajar antarabangsa yang meningkat mendadak daripada lebih 100 kepada lebih 400 pelajar dan menyasarkan 1,000 pelajar tahun ini.

“Mereka datang dari pelbagai negara termasuk ASEAN, Timur Tengah, China, Indonesia dan Thailand serta mengikuti program di Fakulti Keusahawanan, Fakulti Bahasa dan Fakulti Sains,” katanya.

Beliau berkata, UMK mengekalkan keusahawanan sebagai teras pendidikan dengan memperkenalkan Hab Keusahawanan Global sebagai pusat latihan perniagaan dan inovasi.

“Kami mahu memastikan graduan bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi juga mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri,” katanya.

Dalam aspek penyelidikan beliau berkata, universiti itu berjaya mengkomersialkan 10 produk penyelidikan setakat ini.

Warga UMK yang mendengar Perutusan Naib Canselor UMK 2025. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Warga UMK yang mendengar Perutusan Naib Canselor UMK 2025. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Bagi setiap fakulti, elemen keusahawanan diterapkan. Sebagai contoh, pelajar veterinar dibimbing untuk membuka klinik sendiri selepas tamat pengajian,” jelasnya.

Beliau berkata, UMK turut menekankan digitalisasi kampus menerusi agenda UMK Digital, dengan peruntukan RM14 juta bagi menyediakan akses WiFi 100 peratus di seluruh kampus.

“Kami mahu memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan selaras dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Dalam usaha memperkukuhkan pembangunan sahsiah, beliau berkata, inisiatif Ihsan UMK30 diperkenalkan melalui program seperti UMK4U, 1Hati, 1Jiwa dan kampus lestari.

“Selain itu, kami perkenalkan 'Our Day', iaitu satu hari dalam sebulan tanpa mesyuarat atau kuliah untuk membolehkan staf dan pelajar berinteraksi dalam suasana lebih santai,” katanya.

Beliau berkata, cabaran terbesar UMK bukanlah sesuatu yang asing kerana beliau sudah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor selama tujuh tahun sebelum ini.

“Kami optimis UMK akan terus berkembang dan menjadi universiti keusahawanan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!