Semua Tanah Aina di Pahang akan dijual

KUANTAN - Pengasas dan pemilik Tanah Aina mengalu-alukan pencinta alam semula jadi yang ingin mengambil peluang menikmati keindahan alam di kawasan itu sebelum dijual sepenuhnya.
Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, orang ramai boleh mengunjungi Tanah Aina Farrah Soraya; Tanah Aina Fahad, kedua-dua di Raub dan Tanah Aina Idris (Lipis) sebelum mendapat pembeli.
Menurutnya, biarpun sedih, beliau nekad mengambil keputusan tersebut selepas mengusahakan perniagaan tersebut di Pahang sejak 2010.
"Sayang memang sayang selepas banyak kudrat dan modal telah dilaburkan sehingga lokasi-lokasi ini menjadi tumpuan pengunjung dan penggemar alam semula jadi.
"Jadi saya alu-alukan mana-mana pihak untuk datang menikmati keindahan alam, bersantai bersama keluarga, rakan-rakan di sini sebelum dijual dan dapat membayar gaji pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau yang juga bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, kira-kira 40 pekerja bakal terjejas dengan langkah tersebut.
"Bukan pekerja saja terjejas tapi resort yang sangat cantik, pusat ekopelancongan yang telah menang banyak anugerah akan hilang.
"Setakat ini, belum ada pembeli yang berpotensi menyatakan minat mereka," tambahnya yang tidak menolak kemungkinan membuka di lokasi lain selepas ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!