Tujuh cedera lori bawa batu kisar rempuh bas Rapid Kuantan

KUANTAN – Tujuh individu cedera selepas lori membawa muatan batu kisar hilang kawalan sebelum merempuh bas Rapid Kuantan di Jalan Kuantan-Sungai Lembing, berhampiran persimpangan Panching di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, lori berkenaan terbalik di tengah jalan, manakala bas terbabas ke dalam semak sejauh 11.5 meter.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan itu menyebabkan enam individu termasuk pemandu bas dan penumpang serta seorang pemandu lori mengalami kecederaan.
"Siasatan awal mendapati lori itu datang dari arah Kuari Panching menghala ke Kotasas, manakala bas Rapid dari arah Sungai Lembing menuju ke Bandar Kuantan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori yang membawa muatan batu kisar dipercayai hilang kawalan semasa membelok ke kanan, lalu mengelak ke kiri sebelum melanggar bas yang sedang bergerak di laluan utama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!