[VIDEO] Cadangan had 10 tahun PM dibawa ke Parlimen jika dapat sokongan - Anwar

A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan membawakan usul untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun ke Sidang Dewan Rakyat sekiranya mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu perlu melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan komitmen Pakatan Harapan (PH) sebagaimana manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau turut bersetuju dengan cadangan itu kerana bimbang ia akan mencetuskan kerosakan kepada negara jika tempoh jawatan tersebut diberikan lebih lama.

Anwar menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional DAP Ke-18 yang diadakan pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Anwar menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional DAP Ke-18 yang diadakan pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

“Jangan bimbang, kalau saya tak mungkin lepas daripada 10 tahun, dua tahun pun sudah penat. Bukan saya sahaja, malah PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PH juga setuju.

“Bagaimanapun, kita harus bina, itu yang dibincangkan soal rundingan dan kesepakatan. Kita kena terangkan dan dengar, kalau ada dua pertiga, ada persetujuan, sesi akan datang kita boleh pinda.

“Tapi jangan bawa usul kalau belum cukup kerana kalau pembangkang, apa dia hendak kata pun kita tak boleh percaya, sebab dia boleh ubah. Fatwanya boleh berubah ikut masa,” katanya berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Terdahulu, Anthony Loke dalam ucapannya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

Anthony menjelaskan, pihaknya juga akan menyokong dan mencadangkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan pada PRU ke-16 (PRU16).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!