Kos konsultasi naik, premium insurans dijangka melonjak - MEF

Perkhidmatan kesihatan asas atau paling minimum perlu diberikan kepada semua khususnya golongan yang kurang berkemampuan. - Gambar hiasan
Perkhidmatan kesihatan asas atau paling minimum perlu diberikan kepada semua khususnya golongan yang kurang berkemampuan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan kadar konsultasi klinik swasta dijangka menyebabkan penyedia insurans terpaksa menaikkan harga premium untuk memastikan mereka boleh menampung tuntutan lebih tinggi.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, keadaan itu menyebabkan majikan dan warga emas memilih pelan insurans lebih murah dengan liputan terhad.

“Ada juga keadaan di mana kos premium tinggi tidak memberi manfaat sewajarnya kepada pekerja dan majikan. Jadi mereka pilih membiayai sendiri kos rawatan berkaitan.

“Sesetengah majikan terpaksa mengehadkan jumlah boleh dituntut untuk rawatan fasiliti swasta dan mengehadkan jenis rawatan yang dilindungi selain memaksa pekerja serta warga emas menanggung lebih banyak kos sendiri,” katanya kepada Sinar Ahad.

Ujar Syed Hussain, syarikat insurans juga akan mengambil langkah mengecilkan rangkaian klinik panel yang boleh dilawati bagi mengawal kos dan boleh mengurangkan akses kepada klinik tertentu.

Menurutnya, langkah tersebut menyukarkan pekerja mendapatkan rawatan di lokasi klinik atau hospital yang lebih mudah diakses.

“Jika insurans tidak dapat menampung kenaikan kos perubatan, majikan dan warga emas mungkin perlu membayar lebihan kos perundingan daripada poket sendiri.

“Ini boleh memberi tekanan kewangan tambahan terutamanya bagi mereka yang bergantung kepada rawatan berkala untuk penyakit kronik,” ujarnya.

Syed Hussain berkata, kenaikan kos rawatan untuk klinik dan hospital swasta juga memberi kesan kepada jumlah kehadiran pelancong di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia merupakan destinasi popular pelancongan perubatan kerana kadar rawatan masih kompetitif.

“Namun jika kos meningkat, ia menyebabkan penurunan jumlah pelancong perubatan, sekali gus menjejaskan pendapatan sektor kesihatan swasta dan ekonomi negara,” menurutnya.

Ujarnya, semua pemegang taruh termasuk kerajaan, syarikat insurans, pekerja dan majikan perlu mengambil langkah memperkenalkan subsidi rawatan, memperluaskan skim perlindungan kesihatan serta menggalakkan penggunaan teleperubatan sebagai alternatif kos efektif.

Tambahnya, peningkatan kos konsultasi yang tidak dapat dielakkan menyebabkan kepincangan dalam sistem kesihatan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!