Remaja hamil dibunuh, bayi diragut kejam dari kandungan

Emily Sena menjadi mangsa pembunuhan kejam pasangan suami isteri di Cuiaba. Foto Agensi
Emily Sena menjadi mangsa pembunuhan kejam pasangan suami isteri di Cuiaba. Foto Agensi
A
A
A

BRASILIA – Seorang remaja hamil di Brazil menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila bayi dalam kandungannya dikeluarkan secara paksa oleh seorang wanita yang memperdayanya dengan janji memberikan pakaian bayi secara percuma, lapor pihak berkuasa.

Mayat mangsa, Emilly Sena, yang sarat hamil sembilan bulan, ditemui ditanam di halaman belakang rumah milik pasangan suami isteri, Nataly Pereira, 25, dan Christian de Arruda, 28, pada Khamis lalu.

Pasangan itu pada mulanya ditahan di sebuah hospital tempatan di Cuiaba ketika cuba mendaftarkan bayi tersebut sebagai anak mereka.

Menurut laporan media Brazil, g1, meskipun Pereira dan suaminya disyaki berkomplot, wanita itu mengaku bahawa dia bertindak sendirian menculik bayi dan membunuh Sena, 16.

Difahamkan, Pereira sebelum ini mengalami keguguran tetapi tidak memaklumkan kepada keluarganya.

Melalui aplikasi WhatsApp, Pereira menjemput Sena ke rumahnya pada Rabu lalu dengan alasan mahu memberikan pakaian bayi secara percuma. Dia juga menawarkan untuk membayar tambang pengangkutan mangsa ke rumahnya.

“Ia seperti perangkap. Dia mengatakan bahawa dia menerima banyak pakaian bayi dan ingin menyumbangkannya kepada Emilly,” kata ibu mangsa, Ana Paula Meridiane.

Ketua Polis, Caio Alexandre, berkata mayat mangsa ditemui dengan kesan luka, selain dia dipercayai dicekik dan digantung menggunakan kabel internet.

Artikel Berkaitan:

Terdapat kesan luka berbentuk ‘T’ pada bahagian perutnya yang menunjukkan dia masih hidup ketika bayi itu dikeluarkan dengan senjata tajam. Sena cuba mempertahankan diri, namun meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.

Apabila Pereira tiba di hospital mendakwa bahawa dia melahirkan bayi tersebut di rumah, pasukan perubatan mula curiga dan menjalankan ujian ke atasnya.

Keputusan menunjukkan dia sebenarnya tidak pernah hamil.

Peguamnya mendakwa Pereira mengalami keguguran kira-kira enam bulan lalu tetapi terus berpura-pura seolah-olah dia masih mengandung.

“Menurut perkiraan, bayi yang gugur itu sepatutnya lahir dalam tempoh ini,” kata peguamnya.

Sementara itu, suaminya, De Arruda, memberitahu penyiasat bahawa dia percaya isterinya benar-benar melahirkan bayi tersebut dan tidak tahu mengenai pembunuhan Sena.

Malah, dia turut berkongsi foto di media sosial mengumumkan bahawa dia baru sahaja menjadi bapa.

Kes ini masih dalam siasatan oleh Bahagian Pembunuhan dan Perlindungan Peribadi Brazil, manakala De Arruda dan dua lagi suspek akan dipanggil untuk soal siasat lanjut.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kronologi sebenar kejadian,” kata Alexandre. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!