Setiap hari ada kejutan baharu

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KEJUTAN demi kejutan konflik politik negara terus disajikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Jika pada awalnya ramai yang menjangkakan proses peralihan akan berlaku mudah namun sekarang semua meleset.

Empat hari lalu, dunia dikejutkan dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selepas siri temu bual antara Seri Paduka dengan 221 ahli Parlimen berlangsung selama dua hari untuk mengetahui Perdana Menteri pilihan masing-masing, semalam tumpuan media kembali terarah kepada suasana dan kedudukan kerajaan negeri pula.

Terbaharu, Johor akan mempunyai gabungan baharu bagi membentuk kerajaan negeri.

Semalam, Sultan Ibrahim telah memanggil dan mengadakan temu bual dengan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada parti Bersatu mempunyai bilangan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Menerusi kenyataan media daripada Istana Johor semalam, 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah memilih gabungan baharu berbanding 26 ADUN yang memilih PH berdasarkan kepada temu bual yang diadakan.

Sementara itu, di Kedah, kerajaan negeri kekal ditadbir Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana mendapat sokongan kesemua ADUN Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kekal sebagai Menteri Besar Kedah.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata, kesemua 18 ADUN PH dan Bersatu sepakat bahawa kerajaan negeri Kedah dikekalkan supaya urusan pentadbiran lancar.

Suhu politik negara diharap dapat diselesaikan segera sebaik Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, selepas solat Jumaat hari ini.

Media turut difahamkan antara inti pati mesyuarat ini termasuklah situasi politik terkini dan kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan raja-raja Melayu terutama sekali Yang di-Pertuan Agong, antaranya meneruskan kerajaan baharu atau membubarkan Dewan Rakyat.