Raymon Ram dipilih presiden baharu TI-M

KUALA LUMPUR - Usahawan dan pemeriksa fraud, Raymon Ram dipilih sebagai Presiden baharu Transparency International Malaysia (TI-M) bagi penggal 2025-2027.
TI-M dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Raymon, yang juga Setiausaha Agung badan bukan kerajaan itu, adalah bagi menggantikan Dr Muhammad Mohan yang melengkapkan penggal enam tahun perkhidmatannya.
Beliau juga berpengalaman luas dalam memerangi jenayah ekonomi.
"Sepanjang kerjayanya, Raymon telah menerajui pelbagai siasatan penipuan korporat dan inisiatif pemulihan aset.
"Beliau juga telah mengendalikan pelbagai program latihan antipenipuan untuk agensi penguatkuasaan tempatan dan entiti sektor swasta," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Terdahulu, Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 TI-M yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya turut menyaksikan Chew Phye Keat dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi penggal baharu itu.
Sementara itu, jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Nuridzuana Ismail, manakala jawatan Bendahari dipegang oleh Geetha Rubasundram.
Enam ahli jawatankuasa eksekutif pula terdiri daripada Nisha Kamilla Sundra Rajoo, Muhammad Nazri Shaidon, Balbeer Singh, Sahul Hamid Mohamed Maiddin, Zalily Zaman Khan dan Fareedah Kamarulzaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

