Upah jahit baju naik RM5 hingga RM10

Antara baju raya yang telah disiapkan Intan Diana (kanan).
Antara baju raya yang telah disiapkan Intan Diana (kanan).
A
A
A

KUALA PILAH - Kebanyakan tukang jahit di Kuala Pilah menaikkan kos upah antara RM5 hingga RM10 sepasang baju susulan isu kenaikan harga bahan jahitan.

Intan Diana Abdullah, 42, berkata, kenaikan itu bergantung kepada jenis tempahan, material kain serta jenis aksesori digunakan.

"Kenaikan itu tidak dapat dielakkan sebab kebanyakan harga barang jahitan seperti lace, getah, cangkuk dan span naik harga, yang kekal hanya harga benang.

"Getah kain contohnya, kalau dulu harganya didapati dengan RM9 segulung, tetapi sekarang naik antara RM13 hingga RM14," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kos upah itu bukan sahaja menampung kos operasi, tetapi juga gaji pekerja.

"Dengan naikkan harga, saya dapat bayar upah yang lebih kepada pekerja. jika sebelum ini saya membayar mengikut setiap pasang baju, kali ini saya membayar secara harian.

"Tahun ini saya menerima 150 pasang tempahan yang 70 peratus daripadanya sudah siap," katanya.

Dia yang telah 22 tahun ceburi bidang jahitan itu berkata, walaupun berlaku kenaikan harga namun dia tidak berdepan masalah kekurangan pelanggan.

"tiada kekurangan pelanggan, cuma saya memang menghadkan tempahan kepada 150 pasang sahaja. Kalau ikut masih ada yang mahu hantar tapi saya tidak terima selepas tempahan ditutup 31 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan adalah terdiri daripada pelanggan tetap yang 50 peratus datang secara walk-in sementara 50 peratus lagi yang membuat tempahan secara dalam talian," katanya.

Sabariah (kanan) mengehadkan pengambilan tempahan kepada 30 pasang tahun ini berbanding 50 pasang tahun lalu susulan menghadapi masalah kesihatan.
Sabariah (kanan) mengehadkan pengambilan tempahan kepada 30 pasang tahun ini berbanding 50 pasang tahun lalu susulan menghadapi masalah kesihatan.

Seorang lagi tukang jahit, Sabariah Daud, 40, berkata, dia menaikkan kos upah RM5 berbanding tahun sebelumnya bagi menampung kos operasi.

Menurutnya, dia mengehadkan pengambilan tempahan kepada 30 pasang tahun ini berbanding 50 pasang tahun lalu susulan menghadapi masalah kesihatan.

"Pelanggan mula banyak menghantar tempahan Januari lalu sebelum saya menutup tempahan awal Ramadan lalu.

"Walaupun ramai tukang jahit ambil peluang musim raya untuk tambah pendapatan tapi disebabkan saya kurang sihat jadi saya ambil ikut kemampuan sahaja, kerana saya kerja sendiri dan tiada pekerja," katanya.

Katanya, memasuki 14 Ramadan, dia berbaki sepuluh pasang baju yang masih belum dijahit dan mampu diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Sarimah
Sarimah

Seorang lagi tukang jahit, Sarimah Mohd Jumoro, 42, memaklumkan, harga tempahan bagi baru kurung masih mengekalkan pada kadar sama namun tempahan baju Melayu naik RM10 tahun ini.

Sarimah berkata, telah dua tahun mengehadkan tempahan kepada 250 pasang pada musim perayaan disebabkan faktor usia.

"Kalau dulu boleh ambil 400 hingga 500 pasang tapi sejak dua tahun kebelakangan ini sudah kurangkan kuantiti disebabkan faktor kudrat, jika ambil banyak tempahan perlu kerja dua kali daripada biasa.

"Tiga pekerja juga sudah berusia, jika ambil terlalu banyak bimbang tidak mampu siapkan tempahan sebelum raya.

"Memang biasanya mula menjahit dari pagi sampai ada kala sampai 12 malam, hanya rehat waktu mengambil anak sekolah dan memasak untuk buka puasa.

"Jika tempahan siap awal, kami tak rancang untuk ambil tempahan saat akhir kerana perlu ada masa untuk keluarga pula bagi persiapan Aidilfitri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!