'Kejadian ribut ini adalah paling teruk'

SABAK BERNAM - Mangsa ribut di Taman Ria, Sekinchan di sini bersyukur atas keprihatinan kerajaan menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka yang terjejas teruk dalam kejadian itu pada Selasa.
Norazhar Jamaluddin, 59, berkata kejadian ribut kali ini disifatkan paling teruk sejak menetap di taman perumahan itu sejak berusia 13 tahun.
Menurutnya, rumah pusaka peninggalan Allahyarham bapanya mengalami kebocoran pada bahagian bumbung selepas diterbangkan angin kencang.
"Bumbung rumah bocor teruk sementara ruang tamu dan dapur dipenuhi air hujan mengakibatkan kerosakan ketara pada kediaman," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut, Masjid dan Surau di Dewan Seri Sekinchan di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Norazhar tetap bersyukur kerana mereka sekeluarga tiada di rumah dan terselamat dalam kejadian itu meskipun mengalami kerugian RM15,000.
"Mujur waktu kejadian, saya tiada di rumah kerana membeli juadah berbuka di Tanjong Karang manakala isteri pula bertugas dan dua anak lagi masing-masing bekerja serta bersekolah," tambahnya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Norkhairi Mat Salleh, 40, turut berdukacita apabila rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat diterbangkan angin kencang.
"Saya sedang bekerja ketika kejadian dan hanya mengetahui perkara itu selepas rakan memaklumkan rumah saya dilanda ribut.
"Apabila saya pulang, saya dapati bumbung rumah diterbangkan angin dan air hujan membanjiri ruang dalam rumah.
"Banyak barang rosak termasuk almari dan tikar getah," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim berkata, sebanyak RM30,000 diperuntukkan termasuk barangan dapur oleh kerajaan negeri kepada 48 keluarga yang terkesan dalam kejadian itu.
Beliau memaklumkan, ketika ini seramai lima keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan.
"Mereka masih menanti bantuan baik pulih kerana kediaman mengalami kerosakan teruk serta tidak berkemampuan untuk dibaiki.
"Duit yang mereka ada pun kadang-kadang tidak mencukupi, tetapi kerajaan negeri akan berusaha membantu supaya rumah penduduk dapat dibaik pulih secepat mungkin dan boleh pulang dengan selamat," katanya.
Suee Lim yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri juga mengingatkan penduduk di Sekinchan dan kawasan sekitarnya untuk sentiasa berwaspada menghadapi kemungkinan ribut yang kerap melanda di kawasan itu.
Beliau memberitahu, perubahan cuaca tidak menentu boleh menyebabkan angin kencang melanda secara tiba-tiba dan berpotensi merosakkan kediaman serta mencetuskan bahaya kepada penduduk.
“Saya minta semua penduduk di Sekinchan bersiap siaga kerana perubahan cuaca kali ini kerap membawa angin kuat pada waktu petang.
"Pastikan barangan di sekitar rumah yang mudah diterbangkan angin disimpan dengan selamat,” katanya.
Beliau turut menasihati penduduk tidak mengambil ringan ancaman ribut kerana keadaan cuaca kini berbeza berbanding dahulu.
“Kadang-kadang kita rasa cuaca baik, tetapi ribut boleh datang secara tiba-tiba.
"Selain angin kencang, penduduk di kawasan pantai juga perlu lebih berwaspada kerana perubahan cuaca yang semakin tidak menentu," ujarnya.
Beliau menjelaskan, berdasarkan rekod sebelum ini, Sekinchan dan Sabak Bernam sering dilanda angin kencang serta ribut kecil memandangkan kawasan itu merupakan kawasan rata dan dipenuhi sawah padi.
“Biasanya ribut melibatkan lima hingga 10 buah rumah sahaja, tetapi kali ini lebih teruk kerana di Taman Ria Sekinchan sahaja sebanyak 48 rumah terjejas dalam kejadian ini,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

