Mahkamah Perusahaan naik taraf sistem perekodan digital, guna AI

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) bakal melaksanakan penaiktarafan sistem dan perkakasan perekodan digital dengan menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) bagi menjana transkrip segera semasa prosiding kes.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos serta memastikan penyelarasan kefahaman komunikasi dalam kalangan pihak berkepentingan.
Menurutnya, dengan paparan transkrip segera di skrin, proses penyampaian keadilan akan menjadi lebih efektif, sekali gus meningkatkan ketelusan perbicaraan dan keyakinan terhadap MPM.
"Teknologi AI ini akan digunakan di semua MPM di seluruh negara, dengan fasa awal di Pulau Pinang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bangunan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Steven berkata, selain penaiktarafan sistem, sebuah mahkamah tambahan akan ditempatkan di Kompleks MPM Pulau Pinang bagi mengendalikan kes-kes Jemaah Rayuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Ketika ini, kes-kes Jemaah Rayuan PERKESO dikendalikan di pejabat PERKESO tanpa susun atur mahkamah yang formal.
"Dengan adanya mahkamah baharu ini, kes-kes yang melibatkan Presiden Mahkamah Perusahaan juga boleh dibicarakan di peringkat negeri, sekali gus mengurangkan beban penuntut dari Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang yang sebelum ini terpaksa hadir ke Kuala Lumpur.
"Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan sistem keadilan buruh negara serta mempercepatkan penyelesaian kes, seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan hak pekerja di Malaysia," katanya.
Beliau menambah bahawa projek yang dianggarkan menelan kos hampir RM5 juta ini dijadualkan berlangsung selama 12 bulan, bermula Jun tahun ini hingga Mei 2026.
"Dalam fasa awal, sistem ini akan diguna pakai di MPM Pulau Pinang dan ia menjadi antara MPM terawal menggunakan sistem ini.
"Sebanyak 23 bilik mahkamah dan empat unit Sistem Perekodan Digital (SPD) Mudah Alih akan dilengkapi dengan teknologi AI bagi mempercepatkan proses perbicaraan, khususnya dalam kes pembuangan kerja dan kes-kes lain," katanya.
Tambahnya, penaiktarafan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, melibatkan 10 bilik mahkamah pada tahun ini dan tambahan 13 bilik mahkamah serta empat unit SPD Mudah Alih pada 2026.
"MPM Kuala Lumpur bakal menerima jumlah bilik mahkamah tertinggi dengan 16 bilik dilengkapi sistem baharu, diikuti MPM Pulau Pinang dengan tiga bilik dan satu unit SPD Mudah Alih. Mahkamah Perusahaan di Perak, Johor, Sabah, dan Sarawak turut menerima penaiktarafan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Steven berkata bahawa satu Task Force Kesuma telah ditubuhkan bagi menyemak 28 perundangan di bawah Kesuma, termasuk Akta Perhubungan Perusahaan, dalam usaha memperkemaskan sistem keadilan perburuhan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!