'Mat gian' pandu berbahaya dicekup selepas enam minit dikejar polis

JOHOR BAHRU – Seorang penagih dadah yang memandu secara melulu berjaya dicekup selepas enam minit dikejar polis sejauh 12 kilometer dari Jalan Tebrau ke Pekan Ulu Tiram di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 4.17 petang itu, suspek yang menaiki Toyota Altis putih dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memecut laju bagi mengelak ditahan polis.
Menurutnya, pemandu bukan sahaja enggan berhenti, malah memandu secara berbahaya dalam keadaan zig-zag hingga membahayakan pengguna jalan raya sebelum berjaya dipintas di susur masuk ke pekan Ulu Tiram berhampiran Balai Polis Ulu Tiram.
“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah mengesan kenderaan suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandu supaya berhenti.
“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan memecut kenderaan dan cuba melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, kenderaan itu dinaiki dua individu warga tempatan iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun.
Menurut Raub, pemeriksaan mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu, manakala cukai jalan kenderaan itu telah tamat tempoh.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan lanjut juga menunjukkan mereka mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan kesalahan jenayah serta penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 26(1) dan Seksyen 23(1) akta yang sama kerana tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.
"Kedua-dua mereka juga disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke talian 07-2182323 atau di mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

