Polis siasat sekumpulan pemilik kereta pandu berbahaya di selekoh Genting Highlands

BENTONG - Pihak polis telah membuka kertas siasatan susulan penularan melibatkan aksi sekumpulan pemilik kenderaan memandu secara berbahaya di selekoh jalan di Genting Highlands.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis telah menerima pesanan ringkas melalui Facebook Polis IPD Bentong berhubung klip video yang tular memaparkan aksi tersebut.
Menurutnya, aktiviti tersebut dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemilik kenderaan sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.
"Hasil siasatan mendapati klip video tersebut telah tular melalui satu laman sosial dan beberapa klip menunjukkan aksi mereka memandu secara berbahaya di selekoh jalan Genting Highlands.
"Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 APJ (Akta Pengangkutan Jalan) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, pihak polis juga memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.
"Kita juga akan mengambil tindakan tegas dan membuat operasi bersepadu di lokasi berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
"Ini kerana kita mendapat maklumat dan aduan lokasi tersebut sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam serta pengguna jalan raya di laluan terbabit," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

