Pembantu perikanan didenda RM5,000 tipu program latihan tidak wujud

IPOH - Seorang pembantu perikanan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan menipu program latihan praktikal sangkar laut yang tidak wujud, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Hafizul Abd Hamid, 43, juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Muhamad Hafizul mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan tidak jujur telah memperdaya Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang, Nora’ Ashikin Hussain, untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM17,413 melalui Noorhafiza Ismail @ Semail.
Wang tersebut merupakan pendahuluan bayaran bagi penyediaan 'Perkhidmatan Latihan Praktikal Sangkar Laut untuk Pelatih SKM Akuakultur Marin Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut' yang dijadualkan pada 24 hingga 30 September 2017. Namun, latihan amali dan lawatan ke Widad Akuakultur Sdn Bhd di Pulau Langkawi, Kedah itu tidak dijalankan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Kompleks Perikanan Kampung Acheh dalam daerah Manjung pada 21 September 2017.
Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 417 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Mohd Adnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
