Ismail Sabri kembali hadir beri keterangan di SPRM, kelihatan tenang

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat tenang sambil melemparkan senyuman kepada petugas media ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Jumaat.
Kehadiran hari kedua Ismail Sabri ke SPRM difahamkan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Ahli Parlimen Bera itu tiba kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis pengiring serta menaiki kenderaan berwarna gelap.
Ismail Sabri turut dilihat melambai ke arah petugas media yang difahamkan menunggu kehadiran beliau seawal jam 8 pagi.
Terdahulu, SPRM menyatakan bekas Perdana Menteri itu akan kembali menyambung memberi keterangan kepada kumpulan penyiasat pada jam 9 pagi, Jumaat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, arahan telah dikeluarkan kepada bekas Perdana Menteri ke-9 itu selepas lima jam memberi keterangan kepada pegawai SPRM pada Khamis.
Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM mengambil masa kira-kira lima jam untuk merekodkan kenyataan Ismail Sabri yang tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.46 pagi sebelum sesi bermula pada jam 10 pagi.
Ismail Sabri sebelum ini telah mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang dijalankan.
Pengisytiharan itu dibuat pada 10 Februari lalu selepas diarahkan oleh suruhanjaya berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

