Ismail Sabri kembali beri keterangan jam 9 pagi esok - SPRM

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kembali menyambung memberi keterangan kepada kumpulan penyiasat pada jam 9 pagi, Jumaat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, arahan telah dikeluarkan kepada bekas Perdana Menteri ke-9 itu selepas lima jam memberi keterangan kepada pegawai SPRM pada Khamis.
"Ya, benar. Beliau akan kembali ke Ibu Pejabat SPRM esok (Jumaat) pada jam 9 pagi," katanya pada Khamis.
Azam dengan tegas turut menolak khabar angin bahawa Ahli Parlimen Bera itu ditangkap ketika tampil memberi keterangan pada Khamis.
Jelasnya, masih ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh Ismail Sabri kepada pasukan penyiasat SPRM yang sedang meneliti hasil siasatan yang dijalankan.
"Kami menugaskan ramai pegawai untuk menyiasat kes ini kerana terdapat ratusan dokumen yang perlu dianalisis," ujarnya.
Azam berkata, SPRM perlu melengkapkan proses pengambilan kenyataan Ismail Sabri sebelum boleh memutuskan apa lagi yang diperlukan dalam siasatan lanjut kes itu.
Tambahnya, SPRM perlu diberi ruang dalam menjalankan siasatan kes tersebut secara menyeluruh, telus serta adil.
Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM mengambil masa kira-kira lima jam untuk merekodkan kenyataan Ismail Sabri yang tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.46 pagi tadi sebelum sesi bermula pada jam 10 pagi.
Ismail Sabri sebelum ini telah mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang dijalankan.
Pengisytiharan itu dibuat pada 10 Februari lalu selepas diarahkan oleh suruhanjaya berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!